Jumaat, 15 September 2017 | 10:29pm
PENGENDALI skuad bawah 19 tahun (B-19), Bojan Hodak. - Foto Osman Adnan
PENGENDALI skuad bawah 19 tahun (B-19), Bojan Hodak. - Foto Osman Adnan

B-18 AFF: Malaysia jumpa Thailand di final

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara mara ke pentas final Kejuaraan B-18 AFF 2017 selepas menewaskan tuan rumah Myanmar, 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan separuh akhir di Stadium Thuwunna, Yangon, sebentar tadi.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas tamat 90 minit permainan dan tiada masa tambahan.

Skuad negara seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol, Muhammad Azri Ab Ghani yang berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti pemain tuan rumah, Than Htike Zin dan Aung Wunna Soe.

Kapten Malaysia, Muhammad Syaiful Alias mengesahkan kemaraan skuad negara apabila tenang menewaskan penjaga gol Myanmar, Htet Wai Yan Soe pada sepakan penalti terakhir.

Lawan skuad kendalian Bojan Hodak nanti adalah Thailand yang terlebih dahulu mengesahkan tempat di final selepas menundukkan Indonesia 3-2, juga menerusi penentuan penalti.

Perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung Ahad ini pasti menarik selepas Malaysia dan Thailand terikat 1-1 pada aksi peringkat Kumpulan A, Selasa lalu.

Berita Harian X