Jumaat, 15 September 2017 | 11:45pm
PEMAIN Kedah meraikan gol jaringan Ken Ilson ketika menentang Selangor pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi. - Foto Osman Adnan

Kedah pulang dengan bekalan selesa

SELAYANG: Juara bertahan Kedah kini selangkah ke separuh akhir saingan Piala Malaysia selepas menewaskan Selangor 3-2 pada aksi suku akhir Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Selangor yang juga juara 33 kali Piala Malaysia memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 pada aksi timbal balik di Stadium Darul Aman, 24 September ini, andai mahu layak ke separuh akhir.

Pada aksi sebentar tadi, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan pertama pelawat selepas penyerang import dari Denmark, Ken Ilso berjaya menyudahkan hantaran Rizal Ghazali pada minit ke-10.

PEMAIN sayap Kedah, Syazwan Zainon (kiri) diasak pemain Selangor, S Veenod pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi. - Foto Osman Adnan

Hanya lima minit kemudian, kealpaan benteng pertahanan Red Giants sekali lagi dihukum Ilso apabila pemain itu menolak masuk gol kedua Helang Merah.

Selangor cuba bangkit untuk merapatkan jurang dengan beberapa gerakan dan skuad kendalian P Maniam itu terpaksa menunggu hingga minit ke-53 apabila Rufino Segovia menanduk masuk bola hantaran Syahmi Safari.

Bagaimanapun, Helang Merah kembali menjarakkan kedudukan menerusi pemain kebangsaan, Syazwan Zainon yang menyempurnakan bola hantaran lambung Liridon Krasniqi pada minit ke-68.

INSIDEN panas membabitkan pemain Selangor dan Kedah pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi. - Foto Osman Adnan

Selang dua minit, kedudukan itu berubah lagi apabila Segovia meledak gol kedua Selangor hasil hantaran pemain gantian, Andik Vermansyah.

Red Giants dilihat melakukan asakan bertali arus ke kubu Helang Merah dalam perlawanan bertukar tegang namun tetap gagal mendapatkan gol penyamaan sehingga wisel penamat.

Berita Harian X