Sabtu, 16 September 2017 | 8:14pm
PEMAIN JDT, Safiq Rahim (kiri) melepaskan rembatan sambil dihalang pemain MU, Khair Muhammad Jefri Jones pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MU terlalu banyak lepaskan peluang: Almeida

MELAKA: Kegagalan menterjemahkan peluang untuk menjaringkan gol jelas menjadi pemisah buat Melaka United (MU) apabila gagal memberi saingan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika tewas 1-4, pada suku akhir Piala Malaysia, malam tadi.

Jurulatih MU, Eduardo Almeidia berkata, jika pemainnya tidak melepaskan deretan peluang terbaik yang dimiliki di Stadium Hang Jebat untuk menjaringkan gol, beliau yakin skrip perlawanan tentunya akan berbeza.

Antara percubaan bahaya skuad Hang Tuah hadir menerusi Jasmin Macenovic (minit ke-14), Felipe de Souza (minit ke-22 dan minit ke-23) Jeon Woo Young (minit ke-29).

Namun kesemuanya berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Mohd Idzam Tarmizi dengan hanya satu percubaan menerjah jaring menerusi Marko Simic pada minit ke-45.

Menurutnya, jika satu daripada percubaan tepat itu membuahkan hasil, 'cerita' perlawanan sudah pasti berbeza, tambahan pula pemainnya dilihat mampu bersaing pada babak pertama perlawanan.

PEMAIN MU, Felipe de Souza (dua dari kanan) diasak dua pemain JDT pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Namun, selepas merapatkan jaringan menerusi Marko Simic (kedudukan 1-2), pemainnya melakukan kesilapan mudah yang membuka ruang kepada JDT untuk memusnahkan sisa perjuangan MU yang mempamerkan komitmen tinggi sepanjang aksi.

"Beberapa kecederaan pemain termasuk di barisan benteng menyebabkan kita mudah dibolosi.

"Malah Marko Simic juga mengalami kecederaan namun saya tetap menurunkannya atas semangat juang tingginya untuk membantu MU. Kami mengambil risiko menurunkan pemain yang masih cedera," katanya.

Berita Harian X