Rabu, 20 September 2017 | 11:26pm
PEMAIN JDT, S Kunanlan (dua dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika bertemu Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

JDT benam Kelantan

JOHOR BAHRU: Juara Liga Super empat musim berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) meletakkan Kelantan dalam situasi sukar untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan selepas menewaskan pasukan itu 3-0 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, sebentar tadi.

Yang pasti rekod tanpa kalah 55 perlawanan skuad Harimau Selatan tatkala beraksi di laman sendiri sejak 2013 terus kebal dan sukar digugat mana-mana pasukan yang bersaing dalam kancah liga elit domestik itu.

Sejak awal permainan, nasib tidak menyebelahi pelawat apabila Mohd Qayyum Marjoni Sabil yang cuba mendada bola kepada penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat terjatuh dan pengadil, Razlan Joffri mendakwa bola terkena tangan pemain pertahanan itu dan menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Begitupun, Mohamad Ghaddar yang mengambil sepakan penalti gagal menewaskan Khairul Fahmi yang menepis bola dituju ke sebelah kanan gawang.

Namun kegagalan Ghaddar ditebus S Kunanlan pada minit ke-20 yang bijak menghidu peluang selepas melihat Khairul Fahmi keluar dari posisi sebelum melambung bola tepat menerjah jaring.

PEMAIN JDT Gabriel Miguel Guerra terjatuh diasak pemain Kelantan Indra Putra Mahayuddin pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, Johor Bahru. - Foto BERNAMA

JDT hampir menambah jaringan pada minit ke-24 selepas gerakan awal yang dimulakan Cabrera kepada Ghaddar dan dilorong pula untuk Gabriel Guerra tetapi dirembat sipi walaupun Khairul Fahmi sudah tertewas.

Serangan bertali arus tuan rumah nyata tidak mampu dihalang skuad The Red Warriors (TRW) selepas Cabrera mengukuhkan kedudukan 2-0 pada minit ke-36 apabila menyudahkan umpanan Guerra.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-53 tetapi penjaga garisan lebih awal memberi isyarat Guerra dalam posisi ofsaid.

Namun pada minit ke-56, tuan rumah tidak mampu dinafikan apabila sepakan percuma kapten Safiq Rahim melencong tepat ke penjuru kiri gawang yang menewaskan sama sekali Khairul Fahmi.

Berita Harian X