Jumaat, 22 September 2017 | 7:27am
PENGURUS PSG akui wujud ketegangan antara Neymar (kiri) dan Cavani Edinson Cavani di bilik persalinan.

Hubungan tegang Neymar-Cavani 'biasa' - Emery

PARIS: Pengendali Paris Saint-Germain (PSG) Unai Emery mengakui wujud ketegangan di bilik persalinan di Parc des Princes susulan pertikaian membabitkan Neymar dan Edinson Cavani ketika menentang Lyon, minggu lalu.

Begitupun tegasnya, perbalahan yang berlaku susulan pertikaian siapa yang sepatutnya bertanggungjawab mengambil sepakan penalti membabitkan dua bintang itu adalah sesuatu yang normal.

"Mereka berdua adalah pemain yang amat kompetitif. Pertama sekali, mereka mahukan yang terbaik untuk pasukan, namun mereka juga mempunyai objektif individu," kata Emery dalam sidang media, semalam.

"Saya menegaskan, suasana dalam skuad adalah baik. Hanya selepas perlawanan ia amat emosi, jadi kamu boleh katakan ada perbincangan. Orang mungkin menggelarnya pertikaian namun ia adalah normal dan berlaku hampir pada setiap perlawanan.

"Tetapi, ia tidak merosakkan keharmonian atau suasana yang baik di dalam pasukan," kata pengurus kelahiran Sepanyol itu lagi.

PSG menewaskan Lyon 2-0 dalam aksi Ligue 1 berkenaan untuk merekodkan enam kemenangan berturut-turut sepanjang kempen musim ini, namun insiden di depan kotak penalti itu lebih mencuri tumpuan.

NEYMAR (kiri) bersama Edinson Cavani (dua dari kanan) dan rakan sepasukan PSG pada sesi latihan. - Foto AFP

Juara Perancis itu sedang mendahului 1-0 sebelum memperoleh penalti susulan kekasaran ke atas Kylian Mbappe 10 minit sebelum permainan berakhir.

Sudah menjaringkan tiga gol menerusi penalti musim ini, Cavani beranggapan dia bertanggungjawab untuk melakukannya, namun Neymar cuba untuk merampas bola sebelum penyerang Uruguay itu melakukan sepakan.

Begitupun, Cavani gagal menjaringkan gol apabila sepakannya diselamatkan.

Mengulas kritikan membabitkan corak pengurusannya berikutan insiden itu, Emery berkata ia akan diselesaikan.

"Tahun lalu, Cavani yang bertanggungjawab mengambil penalti. Tahun ini, dengan kehadiran Neymar, ia menjadi dua. Selepas itu, siapa yang nombor pertama dan kedua adalah keputusan yang akan saya tentukan," katanya. - AFP

Berita Harian X