Sabtu, 23 September 2017 | 1:06pm
PEMAIN JDT, Safiq Rahim (kiri) cuba melakukan rembatan sambil dihalang pemain MU, Khair Muhammad Jefri Jones pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

JDT tetap buru kemenangan - Morais

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal melakukan rombakan kecil barisan pemain apabila berdepan Melaka United (MU) pada aksi suku akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok.

Pengendali skuad Harimau Selatan, Ulisses Morais berkata, beberapa pemain yang kerap diturunkan dalam aksi saingan liga berkemungkinan akan direhatkan, namun kesebelasan utama yang akan diturunkan sama kualiti dan tidak berdepan masalah untuk membentuk skuad mantap.

Katanya, kelebihan mengatasi MU 4-1 pada aksi suku akhir pertama, 15 September lalu sememangnya bekalan yang cukup selesa, namun tetap tidak mahu menganggap JDT sudah layak ke separuh akhir kerana masih berbaki 90 minit perlawanan.

"Ya... kita berada dalam kedudukan selesa selepas menang aksi suku akhir pertama tetapi itu bukan jaminan kerana ada 90 minit lagi permainan dan saya tetap merencana strategi terbaik dan memperkemaskan barisan pemain.

"Untuk aksi menentang MU, saya perlu memilih pemain yang berada pada tahap fizikal memuaskan kerana beberapa pemain yang kerap diturunkan kepenatan dan pasti menjejaskan rentak.

"Oleh itu saya perlu menilai tahap kecergasan setiap pemain sebelum membuat keputusan. Memang diakui moral begitu tinggi selepas menjuarai Liga Super empat musim berturut-turut tetapi kita harus melupakan seketika kejayaan itu kerana ada lagi peluang yang diintai iaitu Piala Malaysia," katanya.

Bagi Morais, aksi menentang MU tetap getir dan menuntut setiap pemain JDT supaya tidak memandang rendah skuad kendalian Eduardo Almeida yang pasti cuba melakukan kebangkitan.


PEMAIN MU, Marco Simic (tengah) diasak dua pemain JDT pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Malah katanya, barisan pertahanan yang diterajui sama ada Junior Eldstal, Mohd Fadhli Shas dan Aidil Zafuan Abd Radzak perlu fokus bagi mengelak kesilapan mudah.

"Posisi bek kiri dan kanan JDT kena memainkan peranan penting, bukan sahaja menyekat gerakan pemain sayap MU, malah bertindak melakukan serangan dari posisi kiri dan kanan.

"Misi kami tetap memburu kemenangan dan saya mahu pemain beraksi mengikut arahan dan paling utama mengelak daripada pemain lawan menguasai permainan kerana kita ingin memastikan laluan ke separuh akhir," kata Morais.

657 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »