Ahad, 24 September 2017 | 8:24am
PEMAIN PSG jelas kecewa selepas terikat tanpa jaringan di Montpellier, malam tadi. - Foto AFP

Emery harap Neymar pulih segera

PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain, Unai Emery mengharapkan Neymar kembali pulih daripada kecederaan untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, Selasa ini, selepas pasukannya terikat tanpa jaringan di Montpellier, malam tadi.

Neymar terlepas aksi di Montpellier kerana mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan dan rekod permulaan sempurna dalam musim Ligue 1 kali ini tampak terjejas tanpa penyerang berusia 25 tahun itu.

"Kami perlu menunggu sehingga esok untuk menilai sama ada dia boleh kembali beraksi ataupun tidak," kata Emery. "Masih berbaki tiga hari untuk membuat persiapan tetapi saya fikir sekiranya semuanya normal, dia kembali bersama pasukan."

Kelab ibu kota Perancis itu menyaksikan mereka mendahului carta liga sejak awal musim lagi, namun jurang mata kini semakin mengecil dan hanya mempunyai kelebihan satu mata di depan penghuni tangga kedua selepas juara bertahan Monaco menewaskan Lille, Jumaat lalu.


PERTAHANAN Montpellier, Nordi Mukiele diasak dua pemain PSG pada aksi Ligue 1. - Foto AFP

Emery mahu anak buahnya mampu memecah tembok kekentalan lawan meskipun tanpa kehadiran tonggak utama mereka itu.

"Kami memerlukan kesemua pemain, apabila salah seorang tidak disenaraikan maka adalah sangat penting untuk mengekalkan tahap serta jurang yang ada," kata pengendali dari Sepanyol itu.

"Ada sesetengahnya yang menanti untuk diturunkan dan mereka sudah membantu pasukan. Apapun, kami tidak boleh menyatakan yang perlawanan ini mungkin akan menjadi berbeza tanpa kehadiran Neymar.

"Kami harus bermain lebih perlawanan bersama Neymar musim ini tetapi kami juga perlu berusaha gigih biarpun tanpa pemain ini." - AFP


PENYERANG PSG, Kylian Mbappe (kanan) cuba melepasi halangan pemain Montpellier, Ruben Aguilar pada aksi Ligue 1. - Foto AFP

2196 dibaca
Berita Harian X