Isnin, 25 September 2017 | 1:23pm
JURULATIH Perak, Mehmet Durakovic mengakui sikap tidak mengenal erti putus asa menjadi kunci utama kejayaan Perak membenam Pahang dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia. - Foto Abdullah Yusof

Tak kenal putus asa dorong kejayaan Perak

IPOH: Tidak mengenal erti putus asa menjadi kunci utama kejayaan Perak membenam Pahang, 4-0 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Ipoh, malam tadi.

Pengendali Perak, Mehmet Durakovic berkata, setiap pemain wajar diberi pujian kerana mempamerkan aksi konsisten walaupun sedar berdepan tugas sukar memadam kemenangan 3-1 yang diraih skuad Tok Gajah dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur pada 16 September lalu.

"Bagi saya, perlawanan suku akhir kedua ini adalah antara aksi terbaik pemain sepanjang kempen Piala Malaysia berlangsung," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas tamat perlawanan di sini.

Kemenangan 4-0 skuad The Bos Gaurus diperoleh melalui dua jaringan pemain import Brazil, Gilmar Filho, manakala dua lagi masing-masing oleh Kenny Pallraj dan Mohd Nazrin Nawi.


KENNY Pallraj menjaringkan gol ketiga Perak pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

"Jaringan itu juga sedikit sebanyak merentap semangat dan moral pemain Pahang untuk mengekalkan kelebihan yang dimiliki," kata Durakovic.

Mengulas aksi separuh akhir pertama menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Ipoh 14 Oktober nanti, Durakovic percaya anak didiknya mampu melakar kejutan.

"Kami akan memberikan yang terbaik dalam aksi separuh akhir itu nanti walaupun diketahui JDT adalah antara pasukan terbaik di Malaysia," katanya.


PEMAIN Perak, Mohd Nazrin Mohd Nawi meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol keempat Perak pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Sementara itu, jurulatih sementara Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi berkata, kealpaan pemain dan kelonggaran di beberapa posisi menjadi punca kekalahan skuad kendaliannya di tangan Perak.

"Pemain mungkin rasa selesa dengan kemenangan tempoh hari hingga menyebabkan mereka gagal fokus dan mengikut perancangan yang diatur sebelum perlawanan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X