Isnin, 25 September 2017 | 2:03pm
PEMAIN FELDA United meraikan kemenangan menewaskan PKNP FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan
PEMAIN FELDA United meraikan kemenangan menewaskan PKNP FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

Sathianathan puji komitmen The Fighters

SHAH ALAM: Ketua jurulatih pasukan FELDA United, B Sathianathan memuji aksi cemerlang ditampilkan skuad 'The Fighters' ketika membenam wakil Liga Perdana, PKNP FC, 4-1 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Beliau berkata, anak didiknya memberikan komitmen terbaik di atas padang kerana sedar hanya kemenangan selesa bakal menjamin tempat ke separuh akhir Piala Malaysia.

"Pemain sedar mereka hadir ke Stadium Shah Alam dengan satu misi untuk menang dan berjaya melakukannya dengan penuh komitmen," katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Kemenangan itu menyaksikan FELDA mara ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 5-4, walaupun tewas 1-3 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 15 September lalu.

Sathianathan pada masa sama berkata, pasukannya boleh menambah lebih banyak jaringan pada perlawanan itu, namun jentera serangan banyak mensia-siakan peluang yang terhidang di depan pintu gol lawan.

THIAGO Augusto (tiga dari kanan) diasak pemain PKNP FC, Muhammad Syazwan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan
THIAGO Augusto (tiga dari kanan) diasak pemain PKNP FC, Muhammad Syazwan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

Dalam pada itu, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengakui pemainnya bermain di bawah kemampuan sebenar selain banyak melakukan kesilapan mudah pada 10 minit terakhir babak pertama perlawanan.

"Mungkin pemain berasa sedikit selesa selepas menang di Jengka dan mendahului seawal minit kelapan sebelum tewas, jadi ia tidak sepatutnya berlaku terutamanya jika berdepan dengan pasukan yang serba berpengalaman seperti FELDA United," katanya.

Abu Bakar memaklumkan pasukan kendaliannya akan memberi tumpuan dalam dua baki perlawanan Liga Perdana bagi memburu tiket beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Pada aksi di Shah Alam, PKNP FC mendahului perlawanan menerusi jaringan pemain import dari Korea Selatan, Kim Hyeon Woo seawal minit kelapan perlawanan sebelum FELDA United bangkit meraih tiga gol dalam tempoh 10 minit.

Gol dijaringkan menerusi Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-35 dan 44, serta gol pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi pada minit ke-37.

Zah Rahan Krangar kemudiannya mengesahkan kemaraan skuad 'The Fighters' ke separuh akhir menerusi gol keempat pada minit ke-47. - Bernama

Berita Harian X