Rabu, 27 September 2017 | 10:21am
PEMAIN Bayern, Arjen Robben mencipta jenaka yang ditujukan kepada PSG sebelum pertemuan dua kelab tersebut dalam saingan Liga Juara-Juara. - Foto AFP

Duit tak boleh jaringkan gol - Robben perli PSG

PARIS: Arjen Robben mencipta jenaka yang ditujukan kepada pasukan berbelanja mewah, Paris Saint-Germain (PSG), sebelum pertemuan dengan Bayern Munich di tempat lawan dalam saingan Liga Juara-Juara di ibu kota Perancis itu, awal pagi esok.

Dengan Anderlecht dan Celtic juga berada dalam kumpulan sama, pertembungan PSG-Bayern di Parc des Princes akan menentukan siapakah yang akan menjuarai Kumpulan B.

"Paris pastinya mengeluarkan beberapa euro lebih daripada kami, namun duit tidak boleh menjaringkan gol, kualiti di padang sebenarnya menjaringkan gol, pasukan yang baik menjaringkan gol," kata pemain sayap veteran itu sebelum pasukannya berlepas ke Paris.

PSG mendapatkan tandatangan Neymar dari Barcelona dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion), bulan lalu dan mendapatkan Kylian Mbappe dari Monaco secara pinjaman yang akan menjadi perpindahan kekal untuk 180 juta euro (RM894.6 juta) tahun depan.

Namun ketika ditanya mengenai gandingan jentera serangan bintang PSG 'MCN' - Mbappe, Cavani dan Neymar - Robben berkata: "Perkara paling penting ialah persembahan keseluruhan pasukan, bukan hanya fokus kepada pemain tertentu."

Sementara itu, ketika ditanya komen rakan sepasukan dari Belanda itu, pertahanan tengah Bayern, Mats Hummels tampak lebih berdiplomasi mengenai kekuatan PSG.

"Dia memang benar - wang tidak boleh menjaringkan gol tetapi ia membolehkan anda membeli pemain yang boleh menjaringkan gol," kata Hummels di Parc des Princes.

"PSG adalah kelab taraf tinggi. Mereka sangat kuat di bahagian depan dan bagus di posisi lain. Sama seperti kami, mereka memiliki dua pemain di setiap posisi." - AFP

Berita Harian X