X
Rabu, 27 September 2017 | 1:22pm
PEMAIN UiTM FC, Akanni Sunday meraikan jaringan gol ketika menentang Kuala Lumpur dalam saingan Liga Perdana di Stadium UiTM Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PEMAIN UiTM FC, Akanni Sunday meraikan jaringan gol ketika menentang Kuala Lumpur dalam saingan Liga Perdana di Stadium UiTM Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

UiTM FC mahu kekalkan Dong-Hyun, Sunday

SEREMBAN: Biarpun masih ada berbaki satu perlawanan untuk menamatkan tirai Liga Perdana musim ini, namun UiTM FC sudah mula menggerakkan persiapan bagi menghadapi saingan musim 2018.

Ketua jurulatih pasukan itu, Wan Mustaffa Wan Ismail berkata, pihaknya perlu membuat persiapan awal bagi menjamin pencapaian terbaik pasukan tidak terjejas.

Tambahan pula katanya, pasukan itu berbeza dengan skuad lain yang menampilkan ramai pemain daripada kalangan pelajar institut pengajian tinggi terbabit dan perlu membuat pemilihan pemain bagi menguatkan pasukan.

Namun katanya, tumpuan utama adalah untuk memastikan kedudukan dua pemain import pasukan itu iaitu pemain tengah, Do Dong-Hyun dari Korea dan Akkani Sunday Wasui dari Nigeria, dapat dikekalkan.

"Kami bercadang untuk mengekalkan mereka bagi musim depan, namun kedudukan itu belum dapat dipastikan kerana akan bergantung kepada tahap kemampuan kewangan pasukan.

"Jika ada penaja, mungkin mereka dapat dikekalkan atau sebaliknya jika tanpa penaja. Saya berharap pengurusan dapat mencari penaja jalan supaya mereka berdua terus kekal," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, UiTM FC tewas tipis 0-1 kepada Negeri Sembilan hasil jaringan pemain pertahanan, Lee Andrew Tuck pada minit keenam.

Wan Mustaffa mengakui, anak buahnya beraksi baik sehingga mampu menguasai sebahagian besar perlawanan tetapi pemain gagal menemui penyudah.

"Pemain beraksi dengan baik dan mencipta banyak peluang di hadapan pintu gol lawan, tetapi penyerang saya agak malu di depan pintu gol," katanya.

Mengulas mengenai pencapaian keseluruhan skuad bimbingannya itu musim ini, beliau akui berpuas hati kerana UiTM FC berjaya memberikan saingan sengit termasuk di peringkat Piala Malaysia.

Beliau berkata, kejayaan meletakkan pasukan itu pada kedudukan antara tempat kelima dan keenam carta liga adalah suatu pencapaian yang membanggakan, malah menepati petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

"Apa yang penting UiTM FC tidak menjadi skuad belasahan dan dapat bersaing dalam Piala Malaysia.

"Kita mahu kedudukan dan pencapaian musim ini dapat ditingkatkan lagi pada musim depan atau sekurang-kurangnya kekal dalam kelompok lima terbaik carta Liga Perdana," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X