Jumaat, 29 September 2017 | 7:05am
OLIVIER Giroud menjaringkan gol bagi mencipta kemenangan kedua Arsenal dalam saingan Kumpulan H. - Foto Reuters
OLIVIER Giroud menjaringkan gol bagi mencipta kemenangan kedua Arsenal dalam saingan Kumpulan H. - Foto Reuters

Giroud ledak gol ke-100 untuk Arsenal

PARIS: Olivier Giroud meraih jaringan ke-100 bersama Arsenal ketika skuad muda Gunners menewaskan BATE Borisov, 4-2 pada saingan Liga Europa di Belarus, awal pagi tadi.

Theo Walcott pula meledak gol dua kali buat kelab Liga Perdana itu, manakala Rob Holding turut menemui sasaran jaringan bagi mencipta kemenangan kedua Arsenal dalam saingan Kumpulan H.

Skuad kendalian Arsene Wenger itu menewaskan Cologne 3-1 di laman sendiri dalam penampilan pertama dua minggu lalu dan pasukan Jerman itu pula tewas sekali lagi awal pagi tadi selepas tumbang 0-1 di laman sendiri kepada Red Star Belgrade.

Wenger melakukan sembilan perubahan kepada pasukan Arsenal, selepas mereka terbang ke Eropah Timur sejurus kemenangan 2-0 mengatasi West Bromwich Albion dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), pada Isnin.

AKSI Giroud ketika skuad Gunners menewaskan BATE Borisov, 4-2 pada saingan Liga Europa di Belarus, awal pagi tadi. - Foto Reuters
AKSI Giroud ketika skuad Gunners menewaskan BATE Borisov, 4-2 pada saingan Liga Europa di Belarus, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Hanya Shkodran Mustafi dan Mohamed Elneny mengekalkan tempat mereka, manakala ramai pemain muda dimasukkan seperti Joe Willock yang diberikan peluang beraksi pertama kali untuk pasukan senior.

Bagaimanapun gabungan dua pemain veteran berjaya mencipta jaringan pembukaan Arsenal ketika Jack Wilshere melorongkan bola untuk Walcott meledak dari jarak dekat.

Walcott menjadikan kedudukan 2-0 pada pertengahan babak pertama selepas kesilapan dilakukan penjaga gol BATE, Denis Scherbitski, yang menyepak terus kepada penyerang England itu.

"Apabila menjaringkan empat gol di tempat lawan, anda pasti akan menang," kata Walcott kepada BT Sport.

"Ada peluang buat saya mengambil penalti untuk hatrik, tetapi apabila mengetahui Olivier berada pada kedudukan 99 gol, ia adalah peluang buatnya, kerana itu dia mengambil penalti berkenaan." - AFP

Berita Harian X