Ahad, 1 Oktober 2017 | 12:43am
PEMAIN Manchester United, Marouane Fellaini meraikan gol jaringan ketika menewaskan Crystal Palace 4-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Old Trafford, malam tadi. - Foto REUTERS

EPL: Gol Fellaini, Lukaku julang United

MANCHESTER: Dua gol Marouane Fellaini dan satu gol masing-masing daripada Juan Mata dan Romelu Lukaku menyaksikan Manchester United merakam kemenangan besar 4-0 ke atas Crystal Palace, sebentar tadi.

Kembali ke Old Trafford bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan moral tinggi susulan kemenangan dalam kempen Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu, tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit ketiga.

Berpunca daripada gerakan Marcus Rashford, pemain tengah Sepanyol Mata tidak mensia-siakan peluang untuk meledak gol pembukaan tuan rumah.

Pada minit ke-35, Fellaini menggandakan kedudukan sebelum pemain tengah Belgium itu kemudian menambah gol kedua peribadinya empat minit selepas babak kedua bersambung apabila menanduk masuk hantaran Rashford.

Ketika United jelas tidak bermasalah untuk mengutip tiga mata penuh, penyerang berbisanya Lukaku tampak terdesak untuk menjaringkan gol selepas menjaringkan sembilan gol daripada 10 perlawanan terakhirnya.

Dan usaha kerasnya akhirnya berhasil empat minit sebelum permainan tamat apabila mudah menyumbat gol keempat.

Berpunca daripada tolakan baik Anthony Martial ke dalam kotak penalti, bekas penyerang Everton itu tidak mensia-siakan peluang untuk menambah jaringannya kepada musim ini. -

Kemenangan di Old Trafford itu adalah yang keenam direkod skuad bimbingan Jose Mourinho itu daripada tujuh perlawanan musim ini untuk menghuni tangga teratas liga menanti pertemuan Chelsea dan Manchester City, sebentar lagi.

Sementara itu, Peter Crouch muncul wira Stoke City apabila jaringannya lima minit sebelum permainan berakhir memberikan kemenangan 2-1 ke atas Southampton.

Selepas mendahului perlawanan menerusi jaringan Mame Biram Diouf pada minit ke-40, Southampton menyamakan kedudukan menerusi Maya Yoshida pada minit ke-75 sebelum dikecewakan dengan jaringan Crouch.

Di Stadium Vitality, harapan juara musim 2015/16 Leicester City untuk meraih kemenangan gagal dijelmakan selepas diikat Bournemouth 0-0.

Di Stadium London, West Ham berjaya meraih kemenangan yang diharapkan apabila menewaskan Swansea 1-0 menerusi jaringan lewat Diafra Sakho.

Kemenangan meletakkan skuad bimbingan Slaven Bilic keluar daripada zon penyingkiran.

Pada aksi di The Hawthorns, West Bromwich Albion terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Watford apabila mencatat keputusan seri 2-2. - Agensi

Berita Harian X