Rabu, 4 Oktober 2017 | 7:33am
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola (kiri) bersama Stones meraikan kemenangan ke atas Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge pada 30 September lalu. - Foto EPA-EFE/Will Oliver

Stones mahu balas jasa Guardiola

LONDON: Tonggak pertahanan tengah Manchester City, John Stones berkata dia bertekad untuk membalas jasa Pep Guardiola kerana kepercayaan diberikan terhadap dirinya ketika dia bergelut pada musim pertamanya di Stadium Etihad.

Stones, 23, melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya musim lalu selepas menyertai City dari Everton dengan yuran bernilai 47.5 juta pound (RM266.6 juta) sekali gus menjadikannya sebagai pemain pertahanan kedua termahal dunia.

Bagaimanapun, Guardiola tetap yakin dengan aksi pemain antarabangsa England itu dan hasilnya, Stones berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam enam daripada tujuh perlawanan sekali gus membantu kelab itu menerajui carta Liga Perdana Inggeris.


AKSI Stones (kanan) mengekang penyerang Chelsea, Alvaro Morata pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge pada 30 September lalu. - Foto AFP/Ian Kington

"Sangat baik," kata Stones ketika ditanya bagaimana Guardiola membantunya beraksi dengan cemerlang musim ini.

"Sentiasa positif dan mahukan saya melakukan yang lebih baik dan itu yang cuba saya lakukan untuk membalas kepercayaannya di atas padang.

"Perlawanan musim ini sudah membuktikannya, tidak dibolosi dalam saingan Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris. Saya rasa saya mempamerkan peningkatan sebagai pemain dan individu di bawah bimbingannya (Guardiola)."

Stones mempamerkan aksi menakjubkan ketika City melakar kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan, Chelsea, Sabtu lalu dan dia bersetuju yang ia adalah salah satu prestasi terbaiknya sejak menyarung jersi City.

"Saya fikir saya sentiasa menuju ke arah yang betul. Semua orang mengalami hari baik dan buruk," katanya menjelang aksi kelayakan Piala Dunia antara England dengan Slovenia, awal pagi Jumaat ini.

"Kami bermula dengan baik musim ini sebagai satu pasukan. Ia adalah perlawanan penting ketika menentang Chelsea, mereka memenangi liga musim lalu." - AFP

1354 dibaca
Berita Harian X