Khamis, 5 Oktober 2017 | 7:45am
PEMAIN Sporting Lisbon, Adrien Silva menjadi buruan kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester.

FIFA tolak rayuan Leicester dapatkan Silva

LONDON: Rayuan Leicester City untuk mendaftarkan Adrien Silva ditolak oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) walaupun mendapat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) apabila dokumen yang dikemukakan lewat 14 saat daripada tarikh tutup.

Kelab itu dan FA meminta FIFA untuk mengesahkan perpindahan pemain tengah berkenaan selepas lewat menerima dokumen bagi perpindahan bernilai 22 juta pound (RM123 juta) daripada Sporting Lisbon, namun ia ditolak dan dia kini tidak dapat bermain sehingga Januari.

Seorang jurucakap FIFA berkata: "Petisyen yang dibuat Persatuan Bola Sepak bagi kebenaran memohon sijil pemindahan antarabangsa buat Adrien Silva dan seterusnya mendaftarkan pemain untuk kelab gabungannya, Leicester City FC, ditolak."

Silva tersisih daripada skuad Portugal untuk perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia menentang Andorra dan Switzerland bulan ini, dengan negaranya masih berharap dapat melayakkan diri ke kejohanan musim panas di Russia.

Leicester membuat keputusan lewat untuk perpindahan pemain berusia 28 tahun itu selepas Danny Drinkwater berhijrah ke Chelsea, dan Sporting mengatakan bahawa perpindahan itu sudah selesai.

Tetapi dia tidak dapat diturunkan oleh pengurus, Craig Shakespeare sehingga Januari, dengan skuad Foxes berada di tangga ke-17 dalam carta Liga Perdana Inggeris selepas hanya mencatat satu kemenangan musim ini. - AFP

1865 dibaca
Berita Harian X