Isnin, 9 Oktober 2017 | 6:55pm
SETIAUSAHA Agung Konfiderasi Bola sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John jelaskan perlawanan antara Korea Utara dan Malaysia akan dilangsungkan mengikut kalendar yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). - Foto Osman Adnan

FAM, FMLLP tak perlu bimbang

Oleh Zulfaizan Mansor

[email protected]

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tidak perlu bimbang mengenai tarikh baharu bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John menjelaskan perlawanan itu akan dilangsungkan mengikut kalendar yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Beliau berkata, ia bagi memastikan segala persiapan pasukan kebangsaan berjalan baik selain tidak mengganggu perjalanan liga tempatan.

"Sudah pasti tarikh itu akan dibuat mengikut kalendar yang ditetapkan FIFA. Biasanya perlawanan dilangsungkan ketika rehat antarabangsa seperti perlawanan lain yang diadakan sebelum ini," katanya hari ini.

Aksi kedua-dua pasukan yang sepatutnya berlangsung di Pyongyang, Khamis lalu sekali lagi terpaksa ditunda susulan larangan perjalanan ke Korea Utara oleh kerajaan. Ini kali ketiga AFC terpaksa menunda aksi kedua-dua pasukan itu kerana masalah ketegangan politik Korea Utara.

Pada awalnya perlawanan yang dijadual pada 28 Mac lalu di Stadium Kim Il-Sung ditunda ke 8 Jun dan tarikh itu sekali lagi ditunda ke 5 Oktober kerana masalah sama. Selain itu, Windsor turut menjelaskan tarikh baharu dan gelanggang bagi aksi kedua-dua pasukan itu dijangka diumumkan selepas semua aksi kelayakan, hari ini.

"Kami tunggu dulu selepas tamat perlawanan esok (hari ini) sebelum Jawatankuasa Pertandingan AFC membuat keputusan mengenai tarikh baharu bagi pertemuan itu. "Sama ada ia tetap akan dilangsungkan di Pyongyang atau stadium berkecuali juga terpulang kepada keputusan jawatankuasa itu nanti," katanya.

Harimau Malaya kini berada di Hong Kong bagi perlawanan ketiga Kumpulan B dengan skuad kendalian Nelo Vingada itu hanya meraih satu mata daripada dua aksi sebelum ini.

Berita Harian X