Selasa, 10 Oktober 2017 | 1:55pm
KETUA jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Fauzi Pilus (kiri) tekad raih tiga mata menjelang pertemuan menentang MISC-MIFA. - Foto Owee Ah Chun

PDRM tetap fokus benam MISC-MIFA

MELAKA: PDRM tetap fokus kepada pertemuan terakhir berdepan MISC-MIFA pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), walaupun sebarang keputusan tidak mampu mengubah kedudukan pasukan itu untuk mara ke Liga Super 2018.

Jurulatih PDRM, Mohd Fauzi Pilus mahukan pasukannya meraih tiga mata penuh kerana kemenangan itu cukup penting untuk melonjakkan moral positif pemain.

Bagaimanapun, katanya tempoh rehat yang panjang sedikit menjejaskan momentum pasukannya untuk memburu kemenangan dan pemainnya hanya menjalani latihan semula, semalam.

Jadi, tempoh dua minggu menjelang pertembungan itu pada 26 Oktober ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari kembali rentak sebelum berdepan MISC-MIFA.

"Saya akan menurunkan barisan terbaik pada perlawanan itu untuk meraih kedudukan yang lebih baik di carta liga. 

"Beberapa kelibat pemain simpanan yang tidak banyak beraksi sebelum ini mungkin akan diberi peluang mengisi kesebelasan The Cops, dengan harapan mereka juga mampu menyerlah," katanya.

Perlawanan terakhir musim ini juga akan menjadi kesempatan terbaik kepada pemain simpanan dan pemain muda untuk membuktikan keupayaan bagi jika mahu kekal bersama pasukan terbabit untuk saingan musim depan. 

Bagi Mohd Fauzi, rekod pertembungan dengan MISC-MIFA tidak boleh dijadikan ukuran kerana aksi kali ini pastinya menampilkan rentak berbeza. Dalam perlawanan pertama, PDRM meraih tiga mata penuh ke atas lawan yang sama.

Selepas 21 perlawanan, PDRM kini berada di tangga ke lapan liga dengan 25 mata dan jika menang ke atas MISC-MIFA, skuad The Cops boleh melonjak ke tangga ketujuh dengan syarat Sabah tewas dalam perlawanan terakhir mereka.

MISC-MIFA pula berada di kedudukan ke-11 dengan 11 mata dan wajib menang jika mahu mengelak daripada tersingkir ke Liga FAM musim depan.

247 dibaca
Berita Harian X