Selasa, 10 Oktober 2017 | 6:28pm
KETUA Jurulatih Selangor, P Maniam (tengah) pada sesi latihan pasukan di padang SUK, Shah Alam. - Foto Osman Adnan

SSFC gesa kekalkan Maniam

KUALA LUMPUR: Meskipun gagal mengemudi Selangor meraih sebarang kejayaan musim ini, jurulatihnya P Maniam wajar diberikan peluang untuk terus mengendalikan pasukan The Red Giants itu musim depan.

Pandangan itu dilontarkan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) yang menyifatkan bekas jurulatih AirAsia FC itu kurang bernasib baik musim ini terutamanya selepas krisis yang melanda pasukan itu selain pemergian beberapa tonggak utama awal musim lalu.

Justeru, Naib Presiden SSFC, Norazman Abbas mengharapkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dapat membantu Maniam membentuk pasukan lebih mantap sekali gus membolehkan 'gergasi tidur' itu bangkit bagi mengharungi saingan musim depan.

"Beliau memiliki banyak pengalaman kerana sudah mengendalikan pasukan ini di pelbagai peringkat termasuk Piala Belia dan Piala Presiden. Jadi kami boleh katakan beliau sememangnya sudah sebati dengan pasukan ini.

"Saya lihat beliau juga tidak berdepan masalah mengendalikan pasukan ini cuma menghadapi kesulitan apabila kehilangan beberapa tonggak yang beraksi musim lalu dan merencatkan perancangannya musim ini.

"Saya yakin jika FAS mengekalkan Maniam untuk semusim lagi dan dalam masa sama turut membantunya merangka perancangan yang lebih jelas untuk musim depan, Selangor mampu kembali mencabar kejuaraan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Maniam yang sebelum ini menjadi pembantu jurulatih skuad Merah Kuning mendapat kritikan daripada peminat selepas prestasi hambar anak buahnya susulan kekalahan lima kali berturut-turut dalam lima aksi terakhir.

Lebih memburukkan keadaan, hasrat Selangor untuk mara ke final Piala Malaysia buat tahun ketiga berturut-turut lebur apabila tumbang di tangan Kedah pada suku akhir sekali gus menyaksikan mereka menamatkan saingan dengan tangan kosong buat dua tahun berturut-turut.

Pada masa sama, Norazman turut mengharapkan Maniam dapat meneruskan polisinya yang memberi banyak peluang kepada pemain muda untuk beraksi jika terus mengendalikan pasukan itu selepas ini.

"Selangor antara pasukan yang memberi banyak peluang kepada pemain muda untuk beraksi dalam Liga Super dan pertandingan lain musim ini, jadi ini satu perkembangan positif. Saya harap Maniam dapat meneruskan polisi ini," katanya.

455 dibaca
Berita Harian X