Selasa, 10 Oktober 2017 | 11:05pm

Risiko muflis buru tempat ke Liga Perdana

LONDON: Kelab bola sepak Inggeris berisiko muflis dalam usaha memburu tempat ke Liga Perdana (EPL) ketika mereka berdepan 'kehausan ekonomi' untuk bersaing bersama pasukan yang sudah stabil, kata pakar kewangan hari ini.

Antara musim 2008-09 hingga 2015-16, sebanyak 19 kelab dinaikkan pangkat daripada Liga Kejuaraan ke EPL dengan Hull, Norwich dan QPR memperolehnya sebanyak dua kali manakala Burnley tiga kali.

Daripada jumlah keseluruhan, hanya Crystal Palace berjaya mengelak rugi dengan kerugian secara purata daripada semua 19 pasukan itu lebih daripada STG300,000 (RM1.66 juta) seminggu, menurut laporan Vysyble.

Kebanyakan kelab 'membuat duit' pada musim pertama mereka di EPL namun selepas empat tahun, hanya satu daripada kelab berkenaan akan kekal di saingan utama. Satu daripada tiga kelab akan segera kembali ke saingan lebih bawah pada musim berikutnya manakala dua daripada tiga pasukan itu akan turut tersingkir dalam tempoh tiga tahun.

Laporan Vysyble menekankan mengenai "keletihan ekonomi" yang disebabkan oleh usaha untuk bersaing dengan kelab Liga Perdana yang lebih mantap.

Roger Bell dari Vysyble berkata, ramai peminat dan pemilik kelab di Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) melihat kenaikan pangkat ke saingan utama sebagai 'tiket emas' kepada kekayaan yang tidak diketahui.

"Begitupun secara realitinya, untuk kekal di EPL mereka bergelut sekali gus mencatat 'kerugian yang amat besar.' Menerusi "Tinjauan kewangan" ia boleh membawa kepada masalah jangka panjang, kata Bell dengan ia tidak boleh diselesaikan dengan pembayaran sagu hati kepada kelab yang tersingkir sekali pun mereka kini meraih lebih AS$119 juta (RM502.31 juta).

"Kelab di EFL yang berbelanja melebihi kemampuan mereka secara faktanya memberi risiko terhadap masa depan mereka dengan mengejar impian yang hanyalah mimpi dan satu daripadanya sebenarnya adalah mereka akhirnya berdepan dengan mimpi ngeri kewangan," kata Bell.

Laporan itu memberi contoh Blackburn, Bolton dan Fulham manakala Aston Villa dan Sunderland juga berdepan cabaran sama.

Bagaimanapun jurucakap EFL berkata, liga di bawah naungannya berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh dan tiada kelab yang melalui proses kegagalan pembayaran selama beberapa tahun. - AFP

1345 dibaca
Berita Harian X