Rabu, 11 Oktober 2017 | 11:45pm
JURULATIH Kuala Lumpur, Fabio Maciel sambung kontrak selama dua tahun.

Maciel lanjut kontrak bersama KL

KUALA LUMPUR: Fabio Maciel dilanjutkan kontrak selama dua tahun mengemudi Kuala Lumpur dalam Liga Super selepas lima tahun tidak berada dalam liga utama tempatan itu.

Namun tugas Maciel sebagai jurulatih Kuala Lumpur tahun ini belum berakhir apabila beliau berharap mengakhiri musim dengan menjulang trofi Liga Perdana pada 27 Oktober depan apabila kelab itu bertemu JDTII (Johor Darul Ta'zim II) bagi aksi terakhir mereka di Pasir Gudang.

Bagi Kuala Lumpur untuk muncul juara sekali gus mengakhiri kemarau trofi 17 tahun, pasukan Maciel hanya perlu menyamai keputusan pasukan tangga kedua Terengganu, yang menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

"Saya sudah menandatangani kontrak dengan Kuala Lumpur dan saya akan duduk berbincang bersama pemain dan pengurusan untuk mengatur perancangan tahun depan," kata jurulatih dari Brazil yang menyertai pasukan itu April lalu menggantikan Wanderley Junior dan berjaya merekod 12 kemenangan daripada 13 perlawanan liga.

"Saya berharap untuk kekal dua tahun lagi bagi meneruskan kerja kami. Ini adalah penting dan kelab yakin apabila saya tiba, saya membawa pasukan daripada kedudukan kelapan hinggalah mampu naik liga tapi kami perlukan masa untuk membangunkan pasukan ini.

"Ini normal di mana juga tapi beberapa kelab tidak memberi masa kepada jurulatih, jadi saya bersyukur kami mempunyai gaya baru bagi pasukan dan kami berharap untuk lebih baik tahun depan."

Sepanjang enam tahun kariernya sebagai jurulatih termasuklah sebagai jurulatih kebangsaan Timor Leste, Maciel yang berumur 39 tahun itu tidak berpeluang memenangi sebarang gelaran liga.

"Saya masih muda sebagai jurulatih dan semua jurulatih mahu menjadi juara," kata Maciel yang berharap dapat memenangi trofi pertama Kuala Lumpur sejak memenangi Piala Sumbangsih pada 2000.

"Sudah tentulah keutamaan kami untuk naik ke liga utama tapi dalam karier saya, saya tidak berpeluang untuk bertarung sebarang gelaran hinggalah sekarang.

"Kali ini saya mempunyai peluang besar untuk memenangi gelaran dan pastilah kami berlatih lebih kuat setiap hari dan cuba melakukan yang terbaik setiap hari."

628 dibaca
Berita Harian X