Khamis, 12 Oktober 2017 | 12:16pm
DATUK Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan FAS perlu menanggung perbelanjaan yang sangat tinggi disebabkan jadual perlawanan yang menuntut pasukan Sarawak terbang 12 kali setahun untuk menghadapi aksi di Semenanjung dan Sabah. - Foto Mohd Latif Ahmad

FAS rayu bantuan FAM

PETRA JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu membantu Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bagi meringankan beban kewangannya, jika badan induk bola sepak negara itu berhasrat untuk melihat Sarawak kekal dalam saingan bola sepak Malaysia.

 

Itu rayuan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, terhadap FAM berhubung kemelut yang sedang melanda pasukan Bujang Senang ketika ini.

Ketika ini, FAS perlu menanggung perbelanjaan yang sangat tinggi disebabkan jadual perlawanan yang menuntut pasukan Sarawak terbang 12 kali setahun untuk menghadapi aksi di Semenanjung dan Sabah.

Katanya, berbanding pasukan dari Semenanjung, mereka hanya perlu menggunakan penerbangan untuk ke Sarawak dan Sabah saja bagi perlawanan menentang dua negeri ini, namun untuk perlawanan lain, mereka masih boleh menggunakan bas.

"Saya tidak menyalahkan FAS yang mengadu mengenai masalah kewangan, tetapi saya sering mendesak mereka supaya memaklumkan kepada FAM mengenai situasi yang dihadapi FAS itu.

"Mereka tidak mampu menampung perbelanjaan untuk menghadapi aksi di Semenanjung dan Sabah kerana kos untuk menguruskan pasukan adalah kira-kira RM1 juta sebulan bagi membayar gaji pemain dan pegawai, pengangkutan, penginapan serta banyak lagi urusan pentadbiran pasukan.

"Jadi, FAM sepatutnya membantu Sarawak dan Sabah, atau mereka (FAM) meminta bantuan Kerajaan Persekutuan, kerana jika masalah kewangan menyebabkan kami tidak dapat menyertai saingan dalam liga Malaysia, ini mempamerkan integrasi nasional yang tidak baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya, di Bangunan Baitulmakmur, di sini, hari ini.

Jelasnya, setiap kali berkunjung ke Semenanjung dan Sabah, FAS berbelanja kira-kira RM50,000 untuk membawa kira-kira 20 pemain dan pegawai, jadi bantuan kewangan yang diperolehi FAS termasuk daripada kerajaan negeri tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan perlawanan setahun.

Mengulas kemelut yang sedang melanda antara pengurusan baharu dan lama FAS, Abdul Karim berkata, beliau bersedia untuk campur tangan jika isu itu tidak diselesaikan dengan baik secepat mungkin.

"Bagaimanapun, saya masih lagi memerhati dan membuat siasatan sendiri untuk mengenalpasti apakah kesilapan sebenar dan punca kepada kelemahan dalam isu ini," katanya.

FAS kini menghadapi masalah untuk memohon lesen bagi bersaing dalam Liga Super musim depan, selepas permohonan kepada Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) ditolak kerana belum menerima laporan kewangan untuk musim 2016.

Situasi itu menyebabkan pengurusan baharu FAS yang diterajui Datuk Posa Majais, mendakwa masalah itu berpunca daripada pengurusan lama badan induk bola sepak negeri itu.

Posa berkata, FMLLP memerlukan FAS mengemukakan laporan kewangan bagi 2012 hingga 2016 - yang diuruskan oleh FASFMG Sdn Bhd dibawa kendalian pengurusan sebelum ini.

2692 dibaca
Berita Harian X