Khamis, 12 Oktober 2017 | 1:36pm
SKUAD Piala Presiden Terengganu akan bertemu Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk perlawanan akhir pertama Piala Presiden 2017. - Foto FAM

Terengganu intai peluang curi mata di Selayang

KUALA TERENGGANU: Terengganu tidak rela berputih mata sebaliknya menyasarkan sekurang- kurangnya keputusan seri dalam perlawanan akhir pertama, Piala Presiden 2017 bertemu Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, esok.

Ketua jurulatih Terengganu, Mustafa Kamal Abdul Wahab menegaskan misinya adalah memburu bekalan selesa di Selayang sebelum menanti kunjungan skuad The Red Giants dalam final kedua pada 20 Oktober ini, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

"Memang kita mahu menang dalam aksi final pertama esok, tetapi beraksi di laman lawan tentunya sedikit sukar untuk menumpaskan Selangor.

"Tetapi jika berjaya seri dengan ada jaringan di laman lawan, ia sudah memadai sebelum beraksi di laman sendiri," katanya yang pernah menggalas tugas sebagai pengendali sementara skuad Liga Super Terengganu, musim lalu.

Mustafa Kamal yang terkenal dengan sikap tegas pernah membantu Terengganu menjulang Piala Presiden pada 1996 apabila menumpaskan Sabah 2-1 di pentas akhir.

Kini selepas 21 tahun, Mustafa Kamal yang dibantu bekas penjaga gol berpengalaman Terengganu, Zuber Ibrahim mahu merakam sejarah menjulang trofi yang sama tetapi sebagai jurulatih.

Mengulas lanjut, Mustaffa Kamal bagaimanapun sedikit resah apabila tiga tonggak utamanya tidak dapat diturunkan kerana masih dibelenggu kecederaan selain penggantungan.

Dua pemain berpengalaman, Wan Muhammad Fazli Wan Ghazali dan Muhammad Firas Mohd Tarmizi masih belum pulih daripada kecederaan, manakala seorang lagi pemain tonggak yang juga anggota skuad Liga Perdana Terengganu musim ini, Muhammad Rizuan Mohd Razali digantung satu perlawanan.

"Situasi ini pasti membuatkan pasukan sedikit tempang ketika kami menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Selayang.

"Bagaimanapun kami mengharapkan Muhammad Haidhir Suhaimi (penyerang) kembali menemui sentuhan berbisa di depan gawang," katanya.

Ketika aksi separuh akhir bertemu juara bertahan, Kelantan, Muhammad Haidhir meledak dua gol untuk membawa Terengganu melangkah ke pentas akhir.

Beliau juga mengharapkan ketenangan kapten, Muhammad Fazir Hikwan Mat Rani serta pengalaman pemain pertahanan skuad Liga Perdana Terengganu, Dhiyaulrahman Mohd Hasry mampu mengimbangi kekuatan pasukan serta menyekat kemaraan Selangor.

Berdasarkan latihan serta situasi semasa, beliau yakin pemainnya mampu merealisasikan impian persatuan serta sasaran pasukan yang diterajui pengurus, Jasmira Othman.

353 dibaca
Berita Harian X