Khamis, 12 Oktober 2017 | 2:04pm
PENYOKONG menunjukkan tiket perlawanan separuh akhir Piala Malaysia antara Perak menentang JDT pada ahad ini di Stadium Perak. - Foto Abdullah Yusof

Piala Malaysia: Tiket dalam talian habis dijual

IPOH: Kira-kira 3,000 tiket berjaya dijual dalam tempoh dua jam selepas kaunter tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, Perak menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) Ahad ini dibuka di Stadium Perak, pagi tadi.

Tinjauan mendapati orang ramai berbaris seawal sebelum jam 9.00 pagi walaupun penjualan tiket hanya bermula pada jam 10.00 pagi. 

Proses jualan berjalan lancar dan tiada berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Tenyata langkah Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menjual tiket perlawanan di setiap daerah berjaya mengelak berlakunya kesesakan di kaunter jualan di Stadium Perak. 


ORANG ramai beratur membeli tiket seawal jam 9 pagi bagi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia antara Perak menentang JDT di Stadium Perak ahad ini. - Foto Abdullah Yusof

Difahamkan, PAFA memperuntukkan sejumlah 28,000 tiket saja untuk perlawanan menentang JDT, Ahad ini.

Sementara itu, semua 2,000 keping tiket yang dijual secara dalam talian sudah pun habis dijual.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata, jualan tiket secara dalam talian itu dibuka sejak Selasa lalu dan mendapat sambutan hangat.

848 dibaca
Berita Harian X