Khamis, 12 Oktober 2017 | 9:56pm
TONGGAK The Gunners, Mesut Ozil (kiri) dan Alexis Sanchez mungkin angkat kaki dari kem pasukan ekoran kedua-dua pemain itu masih belum bersetuju untuk menandatangani perjanjian baru. - Foto AGENSI

Ozil, Sanchez mungkin angkat kaki: Wenger

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui beliau mungkin tidak mempunyai pilihan selain menjual pemain bintangnya, Alexis Sanchez dan Mesut Ozil ketika jendela perpindahan Januari depan.

Kedua-dua pemain itu akan tamat kontrak pada hujung musim ini dan masih belum bersetuju untuk menandatangani perjanjian baru.

Hingga kini, mereka mungkin boleh meninggalkan Stadium Emirates secara percuma, jadi bermakna Januari ini adalah peluang terakhir buat Arsenal untuk menjual kedua-dua pemain berprofil tinggi itu.

"Ada kemungkinan," kata Wenger dalam sidang media menjelang kunjungan pasukannya ke Watford, Sabtu ini.

"Sekali anda berada di situasi seperti ini, kami perlu menimbang setiap pilihan yang ada, ya."

Ditanya jika Arsenal mempunyai tarikh akhir bagi perbincangan kontrak bersama kedua-dua pemain itu, Wenger berkata: "Tidak. Tidak pada saat ini."

Penyerang Chile, Sanchez, 28, menyertai Arsenal dari Barcelona pada Julai 2014, setahun selepas pemain Jerman yang berumur 28 tahun, Ozil tiba dari Real Madrid.

Penyertaan kedua-dua pemain itu mengujakan peminat Arsenal namun dari segi kualiti, kedua-dua pemain itu masih jauh daripada membantu mengakhiri kemarau 14 tahun kelab itu menjulang gelaran Liga Perdana.

Sanchez dikaitkan dengan beberapa kelab utama lain seperti Manchester City dan Paris Saint-Germain.

Sementara Ozil dilaporkan menarik minat Manchester United, yang kini dikendali oleh bekas pengurus Real Madrid, Jose Mourinho.

Awal minggu ini, ejen Ozil, Erkut Sogut, memaklumkan perbincangan bersama Arsenal adalah positif. - AFP

2179 dibaca
Berita Harian X