Ahad, 15 Oktober 2017 | 7:50am
PENGURUS Chelsea, Antonio Conte (kanan) terpaksa menelan hakikat selepas pasukannya gagal meraih tiga mata ketika aksi menentang pasukan tercorot liga di Stadium Selhurst Park, semalam. - Foto REUTERS

Conte akui perlu 'cari penyelesaian'

LONDON: Bos Chelsea, Antonio Conte mengakui dia perlu 'mencari penyelesaian' susulan kekalahan 2-1 kepada Crystal Palace malam tadi yang mengakibatkan juara Inggeris itu tercicir sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Chelsea ketinggalan menerusi jaringan sendiri Cesar Azpilicueta pada minit ke-11 dan sekali pun Tiemoue Bakayoko menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian, gol Wilfried Zaha pada babak kedua membuatkan penyandang juara itu gigit jari.

Conte turun tanpa kelibat penyerang Sepanyol, Alvaro Morata dan pemain tengah N'Golo Kante dan masalahnya bertambah apabila Victor Moses terpaksa dikeluarkan pada babak pertama.

"Kami mengharungi perlawanan ini tanpa tiga pemain yang penting dan ia tidak berlangsung seperti yang diharapkan," kata Conte.

PEMAIN Chelsea, Cesar Azpilicueta (kiri) tertampan bola ke gawang sendiri untuk jaringan pertama Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Selhurst Park. - Foto REUTERS

MARCOS Alonso (kiri) dan rakan sepasukan kelihatan kecewa selepas tewas mengejut kepada Crystal Palace 1-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris. - Foto AFP

"Kami memulakan permainan dengan amat buruk dan ia adalah hari yang amat sukar. Tetapi kami juga perlu memahami situasi dan terus bekerja, mencari jalan penyelesaian di sebalik kecederaan yang kami hadapi.

"Ketiadaan mereka adalah kehilangan yang besar bagi kami tetapi kami hanya boleh menerima situasi dan kemudian melakukan yang terbaik."

Chelsea kini tewas tiga daripada perlawanan terakhir liga musim ini termasuk dua perlawanan terakhir - kekalahan berturut-turut pertama yang dihadapi mereka sejak April 2016.

Daripada potensi 24 mata, kelab berpangkalan di London itu hanya mengutip 13 mata.

"Kami perlu mengharungi satu perlawanan ke satu perlawanan dan musim ini akan menjadi sukar dalam semua aspek," kata pengendali dari Itali itu.

"Pada penghujung musim kita akan lihat apa yang berlaku tetapi kami sedang cuba untuk melakukan sesuatu yang penting bagi masa depan.

"Satu-satunya jalan penyelesaian yang saya tahu dalam keadaan ini ialah bekerja, bekerja dan bekerja." - Reuters

Berita Harian X