Ahad, 15 Oktober 2017 | 11:18pm
PEMAIN Perak, Ahmad Khairil Anuar (kiri) diasak pemain JDT, Safiq Rahim pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak. - Foto Effendy Rashid

Perak, Johor DT sama handal

IPOH: Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya mengelak 'mimpi ngeri' di Stadium Perak apabila juara Liga Super itu mengikat Perak 1-1 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, sebentar tadi.

Selepas dikecewakan 2-1 pada aksi liga Februari lalu, skuad Harimau Selatan itu nyaris kecundang sekali lagi namun gol penyamaan pada babak kedua menyaksikan mereka berjaya mengelak tragedi sama berulang dan membolehkan mereka membawa pulang kelebihan satu gol di tempat lawan untuk aksi kedua di Larkin, minggu depan.

Ketika kedua-dua pasukan menurunkan jentera serangan terbaik, dua kesilapan yang ditunjukkan pertahanan lebih menjadi tumpuan pada aksi itu dengan Perak yang juga juara tujuh kali itu perlu lebih bekerja keras jika mahu menamatkan penantian 10 tahun mara ke pentas akhir piala berprestij itu sejak kali terakhir melakukannya pada 2007.

Saingan seimbang dalam 10 minit pertama apabila tiada percubaan berbahaya dapat dilakukan kedua-dua pasukan namun JDT terlebih dulu mendapat rentak yang memaksa penjaga gawang Perak, Hafizul Hakim menepis percubaan Safiq Rahim hasil hantaran Mohammed Ghaddar pada minit ke-11.


PENJAGA gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim cuba menyelamatkan gawangnya selepas diasak pemain JDT, Mohamad Ghaddar pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak. - Foto Effendy Rashid

Perak sekali lagi cemas apabila gerakan menarik Gabriel Guerra berjaya merobek kawalan pertahanan Bos Gaurus tetapi hantaran yang tiba di kaki Natxo Insa sekadar dirembat perlahan bekas pemain Levante itu untuk tepat ke dakapan Hafizul lima minit berselang.

Bagaimanapun, hantaran Gilmar Filho kepada Zaquan Adha Radzak seharusnya tidak mendatangkan masalah buat JDT namun tindakan Hasbullah Abu Bakar untuk menghalang bola itu menyaksikan dia tertampan bola ke gawang sendiri dan tidak dapat dibaca Izham Tarmizi Roslan untuk gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-18.

Ketinggalan satu gol, JDT terus garang menyerang bagi memburu gol penyamaan namun Hafizul berjaya mengecewakan pasukan lawan apabila dia menepis percubaan Safiq pada minit ke-20 sebelum percubaan satu lawan satu Ghaddar turut digagalkan penjaga gol muda kebangsaan itu pada minit ke-38 untuk kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan kehilangan rentak apabila penguasaan bola lebih banyak berlegar di tengah padang sebelum Insa yang tidak dikawal di luar kotak penalti sekali lagi menguji gawang Perak tetapi volinya melambung terlalu tinggi pada minit ke-58.


Pemain Perak, Mohamad Nasir Basharudin (kiri) diasak pemain JDT, Gonzalo Gabriel Cabrera pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak. - Foto Effendy Rashid

Perak tergamam apabila kesilapan Shahrom Kalam yang lambat untuk mengeluarkan bola mengundang padah selepas Ghaddar memintas bola dan kemudiannya melakukan gerakan solo yang mudah menewaskan Hafizul untuk gol penyamaan pelawat pada minit ke-66.

JDT terus mendominasi perlawanan dan ruang kosong di celah pertahanan Perak dimanipulasi dengan baik oleh pelawat untuk melorongkan kepada Ghaddar namun percubaan leret pemain Lubnan itu ditepis keluar Hafizul pada minit ke-73.

Perak yang sekali-sekala menyerang memperoleh peluang keemasan untuk meledak gol kedua menerusi larian pantas Zaquan namun JDT lega apabila Izham berjaya menafikan percubaan bekas penyerangnya itu ketika situasi satu lawan satu pada minit ke-78.

3026 dibaca
Berita Harian X