Selasa, 17 Oktober 2017 | 5:40pm
KAPTEN FELDA United, Shukor Adan percaya Kedah lebih tertekan pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darulaman, Sabtu ini.

Kedah lebih tertekan: Shukor

PUTRAJAYA: Kapten FELDA United, Shukor Adan percaya juara bertahan Kedah lebih merasai tekanan apabila mereka membuat perhitungan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Alor Setar, Sabtu ini.

Pemain pertahanan berusia 38 tahun itu berkata, walaupun pasukan Helang Merah memiliki sedikit kelebihan selepas perlawanan pertama terikat 1-1, namun dia percaya The Fighters masih mampu melakukan kejutan.

"Cabaran masih lagi sukar tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku, saya rasa tak ada tekanan kepada pemain FELDA United, yang penting kita lupakan jaringan pihak lawan.

"Pada saya Kedah yang akan tertekan kerana mereka perlukan kemenangan untuk mempertahankan kejuaraan. Kita tak rugi apa-apa, kita pergi ke sana cuma buat yang terbaik dan menikmati perlawanan itu nanti," katanya.

Pentas Piala Malaysia bukan asing buat Shukor yang sudah beraksi di final sebanyak tujuh kali dengan empat kejuaraan dan dia percaya ada sebab kenapa rakan sepasukannya begitu bersemangat untuk menewaskan Kedah kali ini.

"Hanya segelintir pemain FELDA yang merasai nikmat beraksi di final Piala Malaysia, kebanyakan pemain tidak merasai satu piala atau final pun, jadi untuk memotivasikan diri sendiri, mereka harus merasai nikmat beraksi di pentas final sebagai pemain bola sepak.

"Bagi saya kami hanya selangkah saja lagi untuk ke final, kita boleh lakukan di Kedah mungkin sebelum ini kami tak beraksi di hadapan penyokong ramai tapi ini bukan satu alasan," katanya.

Pada pertemuan pertama di Jengka, Pahang, FELDA United yang dibimbing jurulatih B Sathianathan berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol Hadin Azman selepas Kedah mendahului hasil sepakan Sandro Mendonca.

Berita Harian X