Khamis, 19 Oktober 2017 | 7:40am
NEYMAR (tengah) menjaringkan gol ketiga PSG ketika menewaskan Anderlecht pada aksi Kumpulan B Liga Juara-Juara. - Foto AFP
TRIO 'MSN' PSG, Kylian Mbappe (kiri), Edinson Cavani dan Neymar, masing-masing meledak satu gol ketika menewaskan Anderlecht 4-0. - Foto EPA

Trio 'MCN' PSG mengganas benam Anderlecht

BRUSSELS: Trio serangan Paris Saint-Germain (PSG) Kylian Mbappe, Edinson Cavani dan Neymar atau jolokan 'MCN' semuanya meledak gol ketika gergasi Perancis itu merakam kemenangan besar Liga Juara-Juara dengan membelasah Anderlecht 4-0, awal pagi tadi.

Mbappe meletakkan PSG di depan seawal minit ketiga dan Cavani menyambar gol keempat daripada tiga aksi Liga Juara-Juara sebelum berakhir babak pertama.

Pertengahan babak kedua menyaksikan giliran Neymar pula meledak menerusi sepakan percuma, sebelum Angel Di Maria masuk dari bangku simpanan untuk melengkapkan pesta jaringan PSG.


PEMAIN PSG, Kylian Mbappe melakukan rembatan untuk jaringkan gol pertama perlawanan pada aksi Liga Juara-Juara bertemu Anderlecht. - Foto REUTERS

Walaupun pendakwaraya sudah membuka siasatan terhadap Nasser al-Khelaifi susulan penjualan hak penyiaran Piala Dunia, presiden PSG itu tetap turun bagi melihat skuad bintangnya meraih kemenangan.

Pendahulu Ligue 1 itu kekal memiliki kelebihan tiga mata di depan Bayern Munich yang menumpaskan Celtic 3-0 di Jerman, untuk berada di puncak Kumpulan B.

"Ia tidak begitu sempurna buat kami di separuh masa pertama terutama dari segi penguasaan bola," kata pengendali PSG, Unai Emery.


PERTAHANAN PSG, Dani Alves (kiri) cuba mengasak pemain Anderlecht, Leander Dendoncker pada aksi Liga Juara-Juara bertemu Anderlecht. - Foto AFP

"Kami kadang kala dikejutkan dengan serangan kilat pasukan lawan, tetapi di babak kedua kami menemui lebih keseimbangan.

"Segala-galanya bermula baik dengan gol minit ketiga. Tetapi selepas itu kami kehilangan rentak. Dan kami tahu tiada aksi yang mudah untuk kami pada musim ini."

Emery membuat empat pertukaran berbanding skuad yang menundukkan Dijon 2-1 dalam Ligue 1 minggu lalu, dengan Cavani dan Marco Verratti kembali disenaraikan. - AFP

1557 dibaca
Berita Harian X