Jumaat, 20 Oktober 2017 | 3:34pm

JDT, FELDA berentap di final?

PREVIU SEPARUH AKHIR KEDUA PIALA MALAYSIA

KEDAH dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah pun sebelah kaki ke final Piala Malaysia tahun ini.

Berdasarkan kelebihan gol di tempat lawan, pertembungan separuh akhir kedua di Darul Aman dan Larkin esok dilihat pasti memberi kelebihan kepada tuan rumah.

Kenyataan Syafiq Ahmad di laman sosial mengenai status kontraknya dan disokong beberapa lagi pemain merungkai masalah dalaman yang berlaku di dalam pasukan Kedah. Ini sedikit sebanyak pasti mengganggu momentum pasukan bagi menghadapi FELDA United.

Kata-kata Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Badrol Hisham Hashim bahawa Syafiq harus mempunyai semangat kenegerian dan jati diri dilihat sungguh 'klise' dalam era bola sepak moden.

Mengapa perlu mengganggu mental pemain di kala perlawanan hanya berbaki dua hari.

Kedah bakal turun tanpa kelibat kapten Khairul Helmi Johari dan bintang tengah Liridon Krasniqi yang digantung satu perlawanan. Ini masalah sebenar pasukan dan ia pasti menambahkan lagi tekanan ke atas pasukan Kedah.

FELDA United yang menampilkan permainan meyakinkan tempoh hari pasti ingin merebut kesempatan muncul di pentas final.

Skuad bimbingan B Sathianathan itu mempunyai ramuan istimewa yang mampu menyekat hajat Kedah.

Wan Zack Haikal kembali mencuri tumpuan dengan larian kencang dari sebelah kiri serta kekuatan barisan tengah kendalian Zah Rahan Krangar pasti menjadi pertaruhan FELDA United di Alor Setar.

Kecederaan yang dialami penyerang utama, Thiago Augusto dilihat mungkin merencatkan sedikit perancangan Sathianathan, namun beliau mempunyai Hadin Azman yang sudah membuktikan bahawa beliau mampu menjaringkan gol pada saat genting.

Pertembungan di Larkin dijangka hangat kerana pasti JDT ingin layak ke final di halaman sendiri selepas gagal di Piala FA dan Piala Sumbangsih tahun ini.

Formasi 4-3-3 dan gol tempat lawan pastinya menjadi taruhan terbaik JDT.

Masalah kecederaan di bahagian pertahanan kembali menghantui pengendali Ulises Morais. Ketiadaan Marcos Antonio jelas memberi kesan kepada barisan belakang JDT.

Aidil Zafuan, Fazly Mazlan dan Junior Eldstal dilihat masih bergelut untuk pulih menjelang perlawanan malam esok.

Gary Steven Robbat dijangka dikekalkan dalam kesebelasan utama untuk menyokong kerapuhan benteng JDT.

Namun, barisan tengah dan serangan JDT dilihat serba lengkap untuk menggempur benteng Perak yang diketuai Thiago Junior.

Gandingan 3G - Ghaddar, Gonzalo dan Guerra - pastinya bermain penuh semangat bagi memastikan JDT layak ke final Piala Malaysia buat kali kedua.

Perak pastinya menyesali kesilapan Shahrom Kalam mereka kerana menghadiahkan gol tempat lawan kepada JDT.

Namun itu bukan bermaksud Perak akan bertahan pada aksi kali ini. Mehmet Durakovic pasti mahukan anak buahnya mencuri sekurang kurangnya satu gol di Larkin bagi menambahkan tekanan kepada JDT.

Melihat dari rekod pertemuan di Larkin, pasukan Perak akan memberi tentangan yang hebat kepada JDT.

Perak sudah pasti mengidamkan aksi final kali ini. Bekas juara Piala Malaysia tujuh kali itu pasti ingin menghadiahkan sesuatu kepada penyokong dan pengurusan.

Mehmet Durakovic terpaksa menurunkan kesebelasan yang sama akibat dari kecederaan yang dialami tonggak utama.

Zaquan Adha Abd Radzak patut diberi lebih kepercayaan kerana beliau dilihat bersungguh sungguh untuk memburu gol.

Beliau beraksi lebih baik berbanding Gilmar tempoh hari. Kehilangan Nazrin Nawi akibat daripada "gentleman agreement" dilihat sangat memberi kesan kepada kelancaran serangan pasukan Perak.

Namun barisan tengah Perak masih menunjukkan disiplin yang jitu dan berjaya mengimbangi barisan tengah JDT kendalian Safiq Rahim.

Semestinya dua pertembungan klasik dijangka malam esok. Ramalan saya Kedah 2 FELDA United 2 dan JDT 2 Perak 1. FELDA United dipilih berdasarkan prestasi semasa mereka dan kontroversi dalaman yang menghimpit Kedah, manakala JDT dengan rekod kebal mereka di Larkin.

6525 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »