Sabtu, 21 Oktober 2017 | 11:40pm
PEMAIN tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar (tengah) cuba menghalang pemain FELDA United, Zah Rahan Krangar (kiri) pada saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Darul Aman, malam tadi. - Foto Amran Hamid

Sandro julang Kedah ke final

ALOR SETAR: Ia malam milik pemain import dari Brazil, Sandro Mendonca apabila muncul wira Kedah dengan meledak dua gol untuk menewaskan FELDA United 2-0, pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Jaringan itu sekali gus memastikan pasukan juara bertahan itu mara ke final piala berprestij berkenaan buat kali ketiga berturut-turut selepas muncul juara musim 2016 dan naib juara 2015.

PEMAIN pertahanan Kedah, Mohd Rizal Ghazali (kiri) berjaya mengekang penyerang FELDA United, Wan Zack Haikal pada saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Darul Aman, malam tadi. - Foto Amran Hamid

Dua gol pada babak kedua itu sudah cukup untuk skuad Helang Merah menang selesa dengan agregat 3-1, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada pertemuan pertama di Jengka, Pahang, minggu lalu.

Aksi menarik yang diharapkan 25,000 penyokong yang membanjiri stadium nyata meleset apabila kedua-dua pasukan begitu berhati-hati dalam permainan hambar babak pertama.

Sandro Da Silva (kanan) meraikan gol pertama ketika menentang pasukan FELDA United pada saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Darul Aman, malam tadi. - Foto Amran Hamid

Ketiadaan arkitek pasukan, Liridon Krasniqi dan penyerang, Ken Ilso memberi kesan kepada serangan Kedah apabila tiada percubaan tepat dihasilkan anak buah Nidzam Adzha Yusoff itu kecuali rembatan Mendonca yang melepasi palang pada minit ke-22.

Pasukan pelawat pula hanya mencemaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim menerusi tandukan penyerang, Thiago Augusto di hujung babak pertama.

PEMAIN Kedah ceria meraikan kemenangan hadapan penyokong di Stadium Darul Aman, malam tadi. - Foto Amran Hamid

Bagaimanapun, aksi lebih menarik disajikan pada separuh masa kedua dengan FELDA mula mengancam kubu Kedah.

Pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor kecewa apabila rembatannya dalam kotak penalti diselamatkan Ifwat pada minit ke-51, manakala sepakan Augusto pula sekadar terkena tiang gol sembilan minit kemudian.

GELAGAT penyokong Kedah pada saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Darul Aman, malam tadi. - Foto Amran Hamid

Stadium Darul Aman bergema dengan sorakan penyokong Helang Merah apabila Mendonca melepaskan rembatan deras dalam kotak penalti untuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-71.

Mendonca sekali lagi mempamerkan ketenangannya dengan melambungkan bola untuk menewaskan penjaga gol, Farizal Harun sekali gus menamatkan sisa perjuangan skuad kendalian B Sathianathan.

Kemenangan itu memastikan Kedah mara ke final bertemu Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada 4 November ini. JDT mara selepas menumpaskan Perak dengan agregat 4-1.

Berita Harian X