Ahad, 22 Oktober 2017 | 5:35pm
PENYERANG JDT, Gabriel Miguel Guerra (kanan) bertindak cemerlang kemudi bahagian serangan skuad Harimau Selatan. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Piala Malaysia: 5 sebab Perak tewas di Larkin

PERAK memulakan perlawanan dengan formasi 4-3-3. Ini kerana Perak ingin memburu gol di tempat lawan. Bagaimanapun Mehmet Durakovic lebih menekankan corak taktikal yang terlalu defensif.

Pada awalnya ia berjaya mencemaskan Johor Darul Ta'zim (JDT). Lama kelamaan JDT berjaya bergerak sebagai satu unit dengan Afiq Fazail dan Gabriel Guerra cemerlang di posisi masing-masing.

Bukan mudah untuk melakukan taktikal meletakkan bas ala Jose Mourinho kerana ia menyebabkan pemain Perak keletihan akibat bermain terlalu dalam dan menyerang menerusi serangan balas.

Kesempatan ini diambil oleh JDT untuk terus menekan dan akhirnya benteng Perak pecah menerusi larian dan lorongan maut Gabriel Guerra.

Dua gol terhasil menerusi lorongan terus yang membelah pertahanan tengah dan pemain Perak terperangkap kerana mereka menjangkakan pemain JDT akan ofsaid.

Gonzalo Cabrera hanya perlu menguis bola ke dalam gawang tanpa ada tekanan langsung daripada pemain pertahanan.

Selepas penjaga garisan membatalkan gol penyamaan Perak akibat ofsaid, pemain pula dilihat terganggu dan di sinilah mereka dihukum dengan gerakan pantas JDT.

Mental pemain terganggu dan mereka mula bermain dengan kasar dan hantaran ke hadapan yang dilakukan terlihat tergesa-gesa.

Pengadil pastinya menjadi tumpuan malam tadi kerana keputusannya menyebabkan mental pemain Perak terganggu. Namun, sebagai pemain profesional, perkara ini tidak harus berlaku kerana kita tahu keputusan pengadil adalah muktamad.

Pemain juga harus tahu untuk mengawal emosi bagi mengelak pelbagai kontroversi mendatang. Akibat taktikal Mehmet yang terlalu defensif dan menyerang menggunakan corak serangan balas, pemain Perak keletihan terutama pada 20 minit terakhir perlawanan.

Dua gol JDT dijaringkan dalam tempoh ini. JDT juga berjaya memaksa Perak untuk mengejar bola kerana hantaran pendek mereka sangat efektif dan setiap pemain cepat melepaskan bola kepada rakan.

Ini sangat memenatkan lawan kerana ia memerlukan intensiti yang tinggi terutama dari barisan tengah dan pertahanan Perak.

Pergerakan barisan tengah JDT juga dilihat lebih lancar dengan gandingan Afiq Fazail, Gabriel Guerra dan Gonzalo Cabrera, walaupun Safiq Rahim agak tenggelam, manakala kelibat Ghaddar sangat terhad.

Dengan Gilmar diletakkan sebagai 'target man', gandingan Nasir (Basharuddin), Beto (Ahmad Khairil Anuar Zamri), Kenny Pallraj pula lebih gemar membuat hantaran tinggi ke arah beliau.

Kehilangan Nazrin Nawi sangat terasa kerana Perak kehilangan rentak di sebelah sayap kiri. Akibatnya, Zaquan Adha terpaksa turun ke bawah untuk menjadi pemain penghubung.

Perak dilihat sangat bahaya ketika 'set pieces' atau kedudukan bola mati dengan Thiago Aquino sentiasa menjadi tumpuan dan berbahaya. Pemain ini kerap mengkucar kacirkan barisan pertahanan JDT terutama Fadhli Shas.

Namun, akibat kurang kelancaran di tengah, serangan Perak mudah dipatahkan. Satu lagi faktor yang perlu diambil kira adalah Stadium Larkin itu sendiri.

JDT masih belum tewas di Larkin sejak 2014. Hanya Kedah, Selangor dan Melaka United berjaya mencuri mata di Larkin tahun ini.

Dengan kekuatan lebih 20,000 penyokong setiap perlawanan, sememangnya Larkin adalah kubu kuat kepada JDT.

Namun tahniah kepada pemain Perak yang berjaya menyerap tekanan untuk bermain tanpa rasa gugup, tetapi kelebihan padang tuan rumah memberi kelebihan kepada JDT untuk mara ke final menentang Kedah.

Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »