Rabu, 25 Oktober 2017 | 8:49pm
KETUA Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam sifatkan langkah proaktif yang diambil pasukan Liga Perdana itu sebagai satu petanda yang positif kepada pengurusan pasukan yang lebih profesional. - Foto Osman Adnan
KETUA Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam sifatkan langkah proaktif yang diambil pasukan Liga Perdana itu sebagai satu petanda yang positif kepada pengurusan pasukan yang lebih profesional. - Foto Osman Adnan

Langkah proaktif 10 pasukan Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 pasukan yang bertanding dalam Liga Perdana musim ini berjaya melengkapkan permohonan untuk mendapatkan pelesenan kelab meskipun ia hanya akan dikuatkuasakan bermula musim 2019.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam menyifatkan langkah proaktif yang diambil pasukan Liga Perdana itu sebagai satu petanda yang positif kepada pengurusan pasukan yang lebih profesional.

"Selain Kuala Lumpur dan Terengganu yang mengemukakan permohonan untuk beraksi di Liga Super, kita turut menerima permohonan daripada 10 pasukan Liga Perdana yang lain, namun tahap penyelesaian dokumen mereka berada di peringkat yang berbeza antara satu sama lain.

"Langkah ini menunjukkan mereka mengambil kesedaran terhadap penguatkuasaan yang akan mula dilaksanakan pada musim 2019. Jadi ini menunjukkan mereka sudah benar-benar bersedia ke arah menjadi pasukan yang lebih profesional.

"Sudah pasti kami menggalakkan apa yang mereka lakukan ini kerana mereka begitu serius untuk melengkapkan permohonan masing-masing. Saya harapkan segalanya dapat dilengkapkan dan tiada isu yang timbul ketika penilaian dibuat nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penilaian akan dibuat oleh First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan membuat keputusan sama ada pasukan itu layak untuk bertanding dalam Liga Super atau Liga Perdana.

Semua pasukan yang beraksi di Liga Super perlu mendapatkan lesen sebagai sebuah kelab musim ini, manakala pasukan di Liga Perdana mempunyai tempoh sehingga Oktober 2018 bagi memenuhi pelesenan kelab sepenuhnya menjelang musim 2019.

Sebagai rekod, setiap pasukan yang memohon lesen kelab perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

Kegagalan pasukan mendapatkan lesen kelab menyaksikan mereka tidak akan dapat beraksi dan dalam kes ini, mana-mana pasukan yang tidak mempunyai lesen menjelang tahun 2019 tidak akan dibenarkan bersaing dalam Liga Perdana pada musim terbabit.

Berita Harian X