Sabtu, 28 Oktober 2017 | 9:04pm
PENGERUSI Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat pada Sidang Media di Pejabat (PBSNT). - Foto Mohd Syafiq Ambak

Terengganu, T-Team takkan digabung: Rozi

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri tidak bercadang menggabungkan pasukan Terengganu dan T-Team musim depan menjadi satu pasukan sebaliknya akan melakukan penjenamaan semula dengan strategi baru.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, penyusunan semula itu demi kebaikan dan pembangunan pasukan bola sepak di Terengganu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan melakukan penjenamaan semula terhadap kedua-dua pasukan itu yang berkemungkinan nama pasukan saja akan ditukar tetapi pemain dan pengurusan mungkin orang yang sama.

"Apa yang pasti dua pasukan itu masih wujud lagi tahun depan tapi mereka perlu terima kerana akan ada pasukan utama dan sebaliknya, namun saya tidak boleh umum sama ada Terengganu atau T-Team," kata Rozi.

Beliau berkata, jika diimbau strategi kedua-dua pasukan sebelum ini sepanjang 10 tahun pertama tidak ada kejayaan yang boleh dibanggakan kerana tidak mencapai sasaran.

"Kini sudah tiba masanya kerajaan negeri perlu menyusun semula pasukan berkenaan tapi bukan bermaksud hendak bubar pasukan T-Team begitu juga Terengganu, perkara ini tidak timbul, kami perlu susun strategi lain kerana strategi sekarang tidak mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua pasukan walaupun sudah 10 tahun diberi peluang.

"Selain itu sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, kami mahu melihat pulangan dan hasil terbaik kepada negeri dan rakyat lebih-lebih lagi bajet yang besar dibelanjakan setiap tahun."

Berita Harian X