Jumaat, 3 November 2017 | 7:07pm
JURULATIH JDT, Takzim Ulises Morais (kiri) dan Kapten Pasukan, Safiq Rahim ketika sidang media menjelang Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Yazit Razali
JURULATIH JDT, Takzim Ulises Morais (kiri) dan Kapten Pasukan, Safiq Rahim ketika sidang media menjelang Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Yazit Razali

Safiq harap tuah final ketiga

SHAH ALAM: Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim mengharapkan penampilan final kali ketiga Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok akan memberi tuah kepadanya untuk menjulang trofi yang masih belum dikecapi dalam kariernya.

Pada usianya yang mencecah 30 tahun, Safiq dianggap antara pemain tempatan paling berjaya dengan deretan trofi kejayaan Liga Super, Piala FA, Piala Sumbangsih, Piala AFF 2010 dan Piala AFC 2015.

Namun, apa yang masih tiada dalam kabinet trofinya adalah Piala Malaysia apabila dua kali percubaannya di pentas akhir bersama Selangor pada 2008 dan JDT 2014, berakhir dengan kegagalan.

Bagaimanapun, kapten kebangsaan itu tidak mahu sejarah silam terus menghantui dirinya dan percaya peluangnya untuk menebus kegagalan kini terbuka.

"Ini kali ketiga saya beraksi di final dan saya berharap tuah ada bersama JDT. Mana-mana pemain mahukan kemenangan untuk catat sejarah individu tersendiri, jadi saya harap saya dan rakan dapat berikan aksi terbaik," katanya dalam sidang media menjelang aksi final itu, hari ini.

Safiq yang bakal menjadi perancang utama bersama Natxo Insa di bahagian tengah, bagaimanapun menghormati kekuatan juara bertahan, Kedah yang akan tampil di final kejohanan edisi ke-91 itu buat kali ketiga berturut-turut.

Baginya, dia tidak kisah sama ada mereka akan diheret ke penentuan sepakan penalti kerana apa yang penting adalah kejuaraan pertama Piala Malaysia buat JDT.

"Kita sudah buat persiapan rapi, sama ada perlawanan ditentukan dalam 90 minit, 120 minit atau penalti, harap tuah akan memihak kepada JDT. Kami semua akan berikan yang terbaik, tak kisah dalam apa situasi, kami hanya mahukan kemenangan," katanya.

Berita Harian X