Sabtu, 4 November 2017 | 1:29pm
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan ijazah dalam bidang Komunikasi kepada atlet terjun negara, Leong Mun Yee, pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-41. - Foto Saifullizan Tamadi

Sultan Selangor ucap tahniah kepada atlet UPM

SERDANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menyifatkan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai rumah kepada juara dunia dan juara Asia dalam bidang sukan.

Sehubungan itu, baginda berkenan mengucapkan tahniah dan syabas kepada atlet yang juga mahasiswa UPM atas kejayaan mengharumkan universiti dan nama negara di persada antarabangsa.

"Tahniah dan syabas kepada pelajar, atlet UPM yang mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dan yang terkini di Kejohanan Sukan SEA, Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

"Seramai 75 atlet UPM mewakili Malaysia di Sukan SEA, Kuala Lumpur. Atlet UPM menyumbangkan 37 pingat iaitu 15 emas, 11 perak dan 11 gangsa," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-41, di Dewan Besar Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Sultan Selangor bertitah, mahasiswa Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Cheong Jun Hoong turut mencipta sejarah apabila memenangi emas acara 10 meter platform individu, pada Kejohanan Akuatik Dunia FINA di Budapest, Hungary.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UPM bertitah, kejayaan dilakar Jun Hoong itu adalah sejarah dan julung kali buat atlet Malaysia dalam acara berkenaan di pentas antarabangsa.

"Beta berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai juara dunia pada masa hadapan. Tahniah UPM.

"Beta mendoakan agar segala usaha yang dilaksanakan universiti ini dapat diteruskan bagi manfaat bersama," titah baginda.

LEONG Mun Yee ceria bersama ijzah dalam bidang komunikasi pada Majlis Konvokesyen UPM ke-41. - Foto Saifullizan Tamadi

Pada istiadat itu juga, baginda turut menggesa graduan universiti supaya sentiasa mempunyai tekad yang tinggi untuk memerangi gejala dadah.

Titahnya, jika tidak dibanteras, penyalahgunaan dadah amat merbahaya kerana akan merosakkan pemikiran, fizikal dan emosi serta boleh menyebabkan kerosakan yang besar kepada bangsa dan negara.

"Ia adalah ancaman kepada kemajuan bangsa, negara dan peradaban dunia. Beta berasa amat dukacita kerana dadah ini bukan saja mempengaruhi golongan belia tetapi juga remaja yang masih bersekolah.

"Para graduan harus berperanan aktif dalam masyarakat untuk sama-sama membanteras gejala ini daripada terus merebak dalam masyarakat," titahnya.

Dalam majlis konvokesyen hari ini, UPM mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila meraikan 6,500 graduan yang berjaya menamatkan pengajian di universiti berkenaan.

Berita Harian X