Ahad, 5 November 2017 | 12:29am
KEADAAN tegang apabila pemain Kedah, Sandro Da Silva (dua dari kiri) mengarahkan pemain JDT, S Kunanlan untuk tidak melengahkan perlawanan sambil diperhatikan jurulatih Helang Merah, Nidzam Adzha Yusoff (kanan) di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Shahril Badri Saali

Gol awal punca tewas: Nidzam

SHAH ALAM: Gol seawal minit ketiga yang dilepaskan Kedah pada final Piala Malaysia nyata menyentap momentum pemain skuad Helang Merah ketika mereka masih mencari rentak perlawanan.

Situasi itu diakui pengendalinya, Nidzam Adzha Yusoff yang menjelaskan anak buahnya terpaksa membayar 'harga yang mahal' selepas sedikit kesilapan dihukum oleh pemain Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Sebelum permainan bermula lagi, kami tahu JDT sememangnya berbahaya dalam situasi bola mati dan serangan balas pantas. Akhirnya perkara sedemikian terjadi pada awal permainan.


PEMAIN JDT, Aidil Zafuan (dua dari kanan) berjaya menanduk masuk gol pertama Harimau Selatan ketika menentang Kedah di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

"Sememangnya jaringan pembukaan itu mengganggu fokus kami. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan persembahan anak buah saya namun sedikit kesilapan yang dilakukan akhirnya menyebabkan kami kecundang," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Pada aksi final itu, petanda kegagalan Kedah untuk mempertahankan Piala Malaysia sudah boleh dilihat apabila kelekaan pertahanan mereka membolehkan pertahanan lawan, Aidil Zafuan Radzak menanduk gol pendahuluan seawal minit ketiga.

Gonzalo Cabrera kemudiannya memadam semangat Kedah untuk bangkit pada babak kedua apabila dia menyudahkan hantaran lintang Hazwan Bakri untuk gol kedua JDT pada minit ke-63.

Walaupun Kedah cuba membuat pertukaran dengan memasukkan pemain yang lebih bertenaga namun itu belum cukup untuk menembusi gawang yang dijaga Izham Tarmizi Roslan.

Kekalahan itu meleburkan hasrat Kedah untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali keenam dan keputusan 2-0 itu turut mirip kekalahan Kedah di tangan Selangor pada final Piala Malaysia 2015.

4564 dibaca
Berita Harian X