Selasa, 7 November 2017 | 12:42am
PEMAIN PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi mengesahkan bakal meninggalkan kelab berkenaan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PEMAIN PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi mengesahkan bakal meninggalkan kelab berkenaan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Shahrel sah tinggalkan PKNP FC

KUALA LUMPUR: PKNP FC hampir pasti akan kehilangan Shahrel Fikri Md Fauzi apabila ayam tambatan mereka itu mengesahkan bakal meninggalkan kelab berkenaan untuk mencari cabaran baharu pada musim depan.

Shahrel mendedahkan dia dirisik lima pasukan Liga Super dengan sebuah daripadanya sudah menghantar lamaran secara rasmi.

"Jika segala-galanya berjalan lancar, saya akan bermain dengan pasukan baharu musim depan. Setakat ini saya belum menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan kerana masih pada peringkat rundingan.

"Malah sehingga sekarang, daripada lima pasukan yang menyatakan minat terhadap saya, hanya satu yang membuat tawaran secara rasmi.

"Saya akan meneliti daripada segala sudut apabila menerima tawaran rasmi daripada semua pasukan. Namun daripada lima pasukan itu, saya tertarik dengan tiga pasukan.

"Memandangkan saya masih mempunyai kontrak sehingga 2019 bersama PKNP, sebarang urusan perpindahan perlu melalui kelab," katanya.

Shahrel sangat berterima kasih kepada PKNP yang memahami hasratnya mencari angin baharu sekalipun kelab berkenaan turut menawarkan kontrak lanjutan kepadanya.

"Saya masih sayangkan PKNP kerana kelab inilah yang membimbing saya sehingga ke tahap sekarang. Namun, pada masa sama saya perlu memikirkan masa depan.

SHAHREL Fikri (tengah) adalah penjaring terbanyak PKNP pada musim ini dengan 20 gol dalam semua pertandingan dengan 11 daripadanya dihasilkan dalam aksi Liga Perdana. - Foto Muhaizan Yahya
SHAHREL Fikri (tengah) adalah penjaring terbanyak PKNP pada musim ini dengan 20 gol dalam semua pertandingan dengan 11 daripadanya dihasilkan dalam aksi Liga Perdana. - Foto Muhaizan Yahya

"Selain soal pendapatan, saya juga ingin meningkatkan permainan dengan mencari cabaran baharu bersama pasukan lain terutama yang bermain dalam Liga Super.

"Saya sudah berbincang dengan pengurusan PKNP serta sangat berterima kasih kerana mereka memahami malah tidak menghalang hasrat saya itu walaupun saya masih ada kontrak sehingga 2019," kata Shahrel.

Selain memikul tanggungjawab sebagai kapten, Shahrel adalah penjaring terbanyak PKNP pada musim ini dengan 20 gol dalam semua pertandingan dengan 11 daripadanya dihasilkan dalam aksi Liga Perdana.

Ketajamannya di depan gawang turut memikat jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada yang menyenaraikan namanya untuk persiapan menentang Hong Kong pada kelayakan Piala Asia 2019, bulan lalu.

Bagaimanapun, kecederaan paha kiri yang dialami ketika latihan pusat itu menyebabkan Shahrel digugurkan.

Berita Harian X