Selasa, 7 November 2017 | 7:40pm
DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tengah) bersama 12 wakil dari daerah seluruh Kedah sempena pelancaran Kejohanan Bola Sepak Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman 2017 di Wisma Darul Aman hari ini.
DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tengah) bersama 12 wakil dari daerah seluruh Kedah sempena pelancaran Kejohanan Bola Sepak Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman 2017 di Wisma Darul Aman hari ini.

Perlu bincang sebelum pertimbang letak jawatan: Ahmad Bashah

ALOR SETAR: Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan mengadakan perbincangan terlebih dulu dengan badan induk bola sepak negeri itu sebelum membuat keputusan berhubung gesaan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah yang mahu beliau melepaskan jawatan selaku presiden.

Ia berikutan dakwaan beliau yang juga Menteri Besar Kedah, tidak dihargai oleh penyokong skuad Helang Merah sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia ketika pasukan itu menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu lalu.

"Saya mengambil kira pandangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah yang membuat gesaan melepaskan jawatan ini kerana itu permintaan dan luahan perasaan mereka selepas apa yang mereka lihat seolah-olah orang ramai terutama sekali peminat dan penyokong kali ini tidak menghargai apa yang dibuat oleh Presiden KFA.

"Jadi itu yang saya dengar dan viral dalam media sosial semalam. Itu pandangan mereka yang begitu terasa dengan apa yang berlaku di stadium atau tiap-tiap kali ia berlaku.

"Mereka yang meluahkan perasaan mereka saya ucap terima kasih, mereka rasa agak terkilan selepas tugas dan peranan yang dibuat presiden tidak dihargai, bukan mudah untuk Kedah, namun Kedah berjaya sampai ke tahap ini," katanya.

DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tiga dari kiri) melancarkan Kejohanan Bola Sepak Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman 2017.
DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tiga dari kiri) melancarkan Kejohanan Bola Sepak Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman 2017.

Ahmad Bashah berkata demikian selepas majlis penyerahan cek RM6,000 setiap satu kepada 12 daerah dari seluruh negeri ini sempena pelancaran Kejohanan Bola Sepak Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman 2017 yang akan bermula dari 17 November hingga 29 Disember 2017 ini.

Kejohanan dianjurkan bersama Majlis Sukan Negeri Kedah, Majlis Sukan Daerah dan KFA itu bertujuan mencungkil bakat bakat pemain bawah 20 tahun bagi persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

Ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan gesaan meletak jawatan, Ahmad Bashah, berkata ia bergantung kepada KFA namun beliau akan mengadakan perbincangan terlebih dulu.

"Kalau hasrat saya, memanglah ingin meneruskan kepimpinan dalam KFA namun saya juga kena jaga perasaan kumpulan (Pemuda UMNO) yang merasakan perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Pandangan mereka perlu juga saya ambil kira dan kalau penyokong menyatakan tak perlu maka tak perlulah, tak ada masalah.

Mengenai jawatan ketua jurulatih pula, Ahmad Bashah berkata, KFA berpuas hati dengan pencapaian ditunjukkan Nidzam Adzha Yusoff yang berjaya menerajui Kedah hingga ke peringkat final.

Bagaimanapun katanya, KFA belum memuktamadkan sama ada mengekalkan atau mengambil jurulatih baharu.

Berita Harian X