Rabu, 8 November 2017 | 10:31am
PEMAIN Terengganu, Abdul Shukur Jusoh (tengah) dikatakan akan menyertai T-Team musim 2018. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

T-Team tunggu masa umum senarai pemain

KUALA TERENGGANU: Skuad T-Team masih belum membuat keputusan muktamad mengenai enam pemain Terengganu untuk menyertai pasukan itu dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Penolong ketua jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim, berkata, perkembangan terbaru mengaitkan perpindahan Abdul Shukur Jusoh (tengah), Hafizal Mohamad (pertahanan), Amierul Hakimi Awang (penjaga Gol), Muhammad Amirul Syahmi Ashaari (penyerang), Hazeman Abdul Karim (tengah) dan Muhamad Sharin Sapien (tengah) menyertai The Titans dari pasukan Terengganu.

Mohd Azhari berkata, sekalipun enam pemain Terengganu itu ada ditawarkan bermain dengan pasukan T-Team musim depan, namun pemilihan terakhir akan diputuskan ketua jurulatih, Rahmad Darmawan.

Katanya, pihaknya akan melakukan penilaian semula terhadap enam pemain itu sebelum diserapkan ke dalam pasukan T-Team.

"Saya belum boleh memberi komen lanjut mengenai status enam pemain ini kerana ketua jurulatih (Rahmad) yang akan membuat keputusan sama ada mahu mengambil kesemuanya atau sebahagian daripada mereka.

"Jadi, keputusan muktamad belum diputuskan lagi dan apa yang boleh saya katakan, akan ada beberapa pemain ini diserapkan ke dalam pasukan T-Team musim depan," katanya.

Mohd Azhari berkata, pihaknya juga sudah melakukan penilaian terhadap pemain musim ini sama ada dikekalkan atau digugurkan.

Katanya, senarai pemain tempatan yang akan digugurkan sudah dikenal pasti begitu juga kedudukan beberapa awang import.

"Beberapa pemain baharu akan dibawa masuk untuk mengisi kekosongan bagi memperkuatkan pasukan ini untuk saingan musim depan," katanya.

Berita Harian X