Jumaat, 10 November 2017 | 12:54pm
KEJAYAAN skuad bola sepak B-16, B-19 dan B-23 serta skuad futsal negara adalah hasil daripada sentuhan 'sulit' Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Shahril Badri Saali

Rahsia kejayaan TMJ

BURIRAM, THAILAND: Kejayaan skuad bola sepak bawah 16 tahun (B-16), B-19 dan B-23 serta skuad futsal negara mara ke pusingan akhir kejohanan tertinggi Asia adalah hasil daripada sentuhan 'sulit' Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang menganggap banyak pihak tidak mengetahui peranan penting yang dimainkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam badan induk berkenaan.

Hamidin berkata, pencapaian itu adalah kejayaan besar buat FAM selaku badan pengelola bola sepak di negara ini.


SKUAD B-19 yang dibimbing Bojan Hodak menjadi pasukan terbaru mengesahkan tempat ke pusingan akhir Kejuaraan AFC tahun depan selepas menduduki kelompok naib juara lima pasukan terbaik. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Salah satu faktor dalaman FAM yang menjadi sumber kejayaan ini adalah sentuhan daripada Tunku Ismail dan ada bahagian yang dilakukan beliau tidak diketahui orang luar.

"Kita boleh tengok semangat dan dorongan daripada Tunku Ismail termasuk pemberian bonus dan sebagainya yang membawa kepada kejayaan skuad B-23, B-19, B-16 dan skuad futsal negara.

"Kita lihat kejayaan skuad B-16, walaupun kita mengesahkan slot sebagai tuan rumah, tapi kita tetap layak secara merit dari segi pungutan mata pada pusingan kelayakan," katanya yang kini bersama skuad kebangsaan di Buriram.

Skuad B-19 yang dibimbing Bojan Hodak menjadi pasukan terbaru mengesahkan tempat ke pusingan akhir Kejuaraan AFC tahun depan selepas skuad B-16, B-23 dan skuad futsal meraih pencapaian sama sebelum ini.

Selain itu, Hamidin menjelaskan FAM akan memastikan barisan pemain muda ini tidak akan terbiar kerana mereka adalah aset penting buat skuad kebangsaan pada masa akan datang.

"Skuad kebangsaan akan datang bakal memiliki masa depan yang cerah sekiranya kita jaga pemain ini dengan perancangan yang betul.

"Malah, kita pasti akan memiliki ramai pemain berkualiti selepas ini kerana bukan senang untuk layak ke pusingan akhir dalam saingan tertinggi Asia," katanya.

7620 dibaca
Berita Harian X