Selasa, 14 November 2017 | 9:26am
REAKSI pengendali Sweden, Jan Andersson sebaik wisel penamat dibunyikan pada aksi playoff Piala Dunia menentang Itali di Stadium San Siro, sebentar tadi. - Foto AFP

Kami hanya mampu bertahan: Andersson

MILAN: Jurulatih Sweden, Jan Andersson mengakui Itali adalah pasukan yang lebih baik daripada sudut teknikal berbanding skuad kendaliannya yang bertahan bermati-matian pada pertemuan playoff kedua kelayakan Piala Dunia 2018, pagi tadi.

Pada aksi di San Siro itu, Sweden membuatkan Itali kempunan aksi di pusingan akhir di Russia 2018 apabila mengikat juara dunia empat kali itu 0-0, sekali gus mara dengan agregat 1-0 susulan kemenangan di tempat sendiri, minggu lalu.

Begitupun pada pertembungan penuh mendebarkan itu, Sweden terpaksa mengerah seluruh keringat untuk menghalang gawang mereka daripada dibolosi.


PENGENDALI Sweden, Jan Andersson (tengah) memeluk pemain pertahanan, Mikael Lustig selepas tamat perlawanan playoff menentang Itali di Stadium San Siro, sebentar tadi. - Foto AFP

"Kami tidak mempunyai sebarang senjata lagi. Kami hanya perlu berdiri di sana dan berharap kami mampu bertahan," kata Andersson.

"Kami tidak dapat melakukannya dengan cara yang berlainan kerana skil mereka begitu tinggi."

Kekalahan itu menyaksikan Itali gagal layak ke Piala Dunia buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun dan ironinya, kali terakhir mereka tidak beraksi di saingan elit itu pada 1958 ketika Sweden menjadi tuan rumah.

Skuad kendalian Gian Piero Ventura itu menguasai 75 peratus kawalan bola, tetapi mensia-siakan banyak peluang selain rayuan mereka untuk mendapatkan penalti turut ditolak.

Sejurus wisel penamat ditiupkan pengadil, beberapa pemain Itali jelas tidak dapat menerima hakikat itu dan tumbang di atas padang.

Ia juga menjadi pengakhiran buat penjaga gol legenda mereka, Gianluigi Buffon yang mengumumkan persaraan bersama skuad kebangsaan selepas membuat 175 penampilan untuk negaranya. - AFP

1247 dibaca
Berita Harian X