Khamis, 16 November 2017 | 9:46pm
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Hajjah Bibi Ramjani Ilias Khan (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan Al-Quds Travel, Tuan Haji Wan Muhd Zamri Wan Salleh, dan kepada En. Che Zahri Che Ha yang setuju menaja TRW bagi musim 2018. - Foto Ihsan Facebook TRWFC

Al-Quds Travel taja Kelantan

KOTA BHARU: Syarikat Pengendali Umrah, Al-Quds Travel Sdn Bhd kini bergelar antara penaja pasukan The Red Warriors (TRW) musim depan.

Menerusi entri terbaru dalam laman sosial rasmi pasukan, TRWFC melaporkan syarikat itu sudah bersetuju menjadi sebahagian penaja sekali gus membantu mengukuhkan kewangan Kelantan bagi berdepan cabaran Liga Super musim hadapan.

Pada masa sama, laman sosial rasmi pasukan turut memaklumkan, selain tajaan berbentuk kewangan, Al-Quds turut menyediakan keperluan logistik bagi pasukan.

"Al-Quds Travel Sdn Bhd bersetuju menjadi sebahagian daripada penaja Kelantan FA musim 2018.

"Selain tajaan wang tunai, Al-Quds juga akan mengendalikan keperluan logistik yang merangkumi keperluan penerbangan, pengangkutan darat dan penginapan untuk pasukan ketika beraksi di gelanggang lawan pada musim 2018," katanya.

Pada entri sama, TRWFC turut menyatakan, Al-Quds menawarkan pakej umrah kepada pemain pasukan termasuk penyokong dengan harga istimewa.

"Al-Quds juga bakal menawarkan pakej umrah menarik bersama pemain pasukan Kelantan untuk semua penyokong yang berminat," katanya.

Al-Quds Travel adalah sebuah syarikat tempatan yang mengendalikan pakej pelancongan, ziarah dan umrah.

Dengan pengesahan terbaru itu, TRW sudah menerima dua tajaan setakat ini.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan bahawa bakal sudah menerima tajaan jersi daripada Al-Ikhsan untuk skuad Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan bola sepak wanita musim 2018.

Berita Harian X