Jumaat, 17 November 2017 | 10:31pm
JURULATIH Nantes, Claudio Ranieri mahu guna 'dua bas' bagi menghalang jentera serangan PSG, Esok. - Foto AGENSI

Ranieri plot rancangan halang PSG

PARIS: Claudio Ranieri yang cemerlang mengemudi Leicester City menjulang trofi Liga Perdana Inggeris berharap untuk melakukan satu lagi kejutan apabila kelab bimbingannya Nantes bertandang ke laman kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain esok.

Sejak tiba di Nantes Jun lalu, Ranieri meneruskan prestasi baik kelab itu ketika dikemudi Sergio Conceicao yang membawa mereka hanya ketinggalan dua mata untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara, musim lalu.

Nantes sudah mengumpul 23 daripada kemungkinan 30 mata maksimum selepas kekalahan berturut-turut pada permulaan kempen Ligue 1 musim ini tetapi Ranieri tampak bertenang menjelang kunjungan ke Parc des Princes.

"Saya akan menggunakan dua bas," kata Ranieri mengenai perancangannya bagaimana beliau mahu menghalang jentera serangan PSG yang sudah meledak 39 gol dalam 12 perlawanan musim ini.

"Saya tahu apa yang akan berlaku pada malam Sabtu nanti. Saya mahu melihat pasukan saya tenang dan amat bertekad untuk bermain dengan baik.

"Apakah keputusannya? Saya tahu kami tidak akan kalah. Saya sentiasa mempunyai idea (bagaimana untuk bermain) menentang pasukan yang hebat.

"Ideanya sentiasa menakjubkan tapi realitinya agak berbeza! Paris akan menjuarai kejuaraan. Mereka menjadi pasukan yang hebat dan menjadi semakin baik dari masa ke semasa."

Bintang PSG yang dipalit konflik, Neymar kembali ke kancah domestik selepas malam yang tidak menggembirakan bersama skuad kebangsaan Brazil apabila tampil dengan watak 'rapuh' selepas kemenangan 3-1 ke atas Jepun di Lille.

Sekalipun dia sudah meledak 11 gol dalam 12 perlawanan musim ini sejak perpindahan memecah rekod dunia dari Barcelona, berita mengenai pergeserannya dengan rasakan sepasukan dan pengurus, Unai Emery lebih mendapat tumpuan.

Jurulatih Brazil, Tite mempertahankan bintangnya itu yang menyebabkan dia mengesat air mata tetapi Emery menegaskan tiada isu membabitkan dirinya dan Neymar.

"Tiada satu pun khabar angin itu penting. Apa yang dikira adalah perbincangan saya dengannya. Kami amat gembira dengan kehadirannya, dia akan berjaya di sini," kata Emery.

"Situasinya sama buat pemain yang berpindah kelab, jurulatih, rakan sepasukan dan bandar. Proses adaptasi mengambil masa. Rakan sepasukannya, staf dan kelab perlu melakukan segala-galanya untuk membantu proses ini.

"Dia menjadi lebih baik dan baik. Apa yang berlaku di tengah padang adalah paling utama. Apabila pasukan mendapat keputusan, perkara akan menjadi baik dan semua orang berasa lebih baik."

PSG ketika ini mendahului juara bertahan Monaco dengan perbezaan empat mata. - AFP

1235 dibaca
Berita Harian X