Sabtu, 18 November 2017 | 10:16am
PRESIDEN La Liga, Javier Tebas nasihat penyokong Barcelona jangan 'hina' Sepanyol.
PRESIDEN La Liga, Javier Tebas nasihat penyokong Barcelona jangan 'hina' Sepanyol.

Nou Camp berisiko ditutup

BARCELONA: Presiden La Liga, Javier Tebas menegaskan, penyokong Barcelona bebas bersorak untuk meraikan kemerdekaan Catalonia, namun sebarang sorakan yang 'menghina' Sepanyol akan membawa kepada penutupan sementara Stadium Nou Camp.

Pelbagai aksi pro-pembebasan semakin berleluasa di stadium terbabit selepas halangan referendum pemisahan Catalonia dari Sepanyol pada 1 Oktober lalu, sekali gus mewujudkan provokasi antara kerajaan Sepanyol dengan wilayah itu.

Badan pengendali liga itu jelas tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan anti-sosial, selepas insiden penyokong Deportivo La Coruna dibunuh penyokong Atletico Madrid sebelum perlawanan dua pasukan itu di ibu kota Madrid pada 2014.

La Liga turut mengeluarkan memo yang menyatakan sebarang sorakan menghina akan dianggap sebagai kesalahan, kerana ia mampu mencetuskan keganasan yang boleh berlaku di dalam serta di luar stadium.

Pasukan juga boleh didenda jika melakukan kesalahan sama secara berulang, dengan pasukan berdepan penutupan stadium jika kesalahan terbabit terus dilakukan.

"Sorakan terhadap kemerdekaan tidak dianggap sebagai tindakan yang menghina atau mampu mencetuskan keganasan," kata Tebas.

"Namun sorakan seperti 'Celaka Sepanyol, Catalonia atau Andalusia' adalah satu kesalahan. Jika persekutuan Sepanyol melihat sorakan terbabit perlu dihukum dan badan yang terbabit juga bersetuju dengan pendapat itu, liga boleh mengarahkan Nou Camp supaya ditutup."

Musim lalu, Sportin Gijon diarahkan menutup sebahagian stadium El Molinon untuk satu perlawanan, sebagai hukuman selepas penyokongnya mengeluarkan penghinaan berbaur perkauman terhadap pemain sayap Athletic Bilbao, Inaki Williams. -Reuters

Berita Harian X