Ahad, 19 November 2017 | 10:52pm

Rombak KFA kerana banyak kelemahan

ALOR SETAR: Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, patut merombak pengurusan persatuan terbabit kerana banyak kelemahan.

Pengerusi Lang Merah Fans Association (LMFA), Wan Mohd Syazwan Wan Mohd Fadzelah, berkata rombakan itu perlu dilakukan berikutan rasa tidak puas hati penyokong Kedah membabitkan urusan tiket perlawanan.

"Kami mahu lihat kedudukan Pengerusi Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shahrol Niza Omar dirombak. Beliau gagal melaksanakan peranan sejak tiga tahun lalu apabila pasukan Kedah melangkah kaki ke perlawanan akhir.

"Sudah tiba masanya tempat beliau dikaji semula supaya isu yang sama tidak akan berulang pada masa akan datang," katanya kepada pemberita semasa Majlis Santai Sidang Media Penyokong Kedah, di sini.

Pada awal bulan ini, hampir 10,000 tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia Kedah menentang Johor yang disediakan di empat kaunter Stadium Darul Aman habis terjual dalam tempoh 45 minit.

Rentetan itu, beratus-ratus penyokong Kedah berkumpul di hadapan pejabat KFA dekat Stadium Darulaman bagi menyatakan kekecewaan mereka.

Sementara itu, LMFA yang mewakili 21 kelab penyokong bola sepak negeri itu turut mencadangkan kepada KFA supaya 50 peratus tiket dijual secara dalam talian, manakala baki dijual di kaunter tiket yang membabitkan perlawanan di Stadium Darul Aman.

Wan Mohd Syazwan berkata, ia bagi memastikan kejadian 'tiket habis awal' tidak berlaku lagi.

"LMFA menyokong penuh usaha yang dilakukan penaja utama KFA, Puan Seri Ginney Chew yang juga Pengarah ECK Development Sdn Bhd untuk mengadakan petisyen bagi membawa masuk Ramon Marcote dari Sepanyol bagi mengisi kekosongan ketua jurulatih yang ditinggalkan Mohd Nidzam Adzha.

"Keadaan in merupakan satu tindakan positif daripada penaja utama itu yang sudi mendengar kemahuan penyokong Helang Merah," katanya.

Antara anggota LMFA ialah Lang Merah Fan Club (LMFC), Primaherbs Frenz Kedah (PFK), Kelab Penyokong Kedah (KEPAK), The Red Eagle (TRE), Penyokong Setia Baling (PSB) dan Tandop City.

Berita Harian X