Isnin, 20 November 2017 | 12:29pm
PASUKAN T-Team. - Foto Ghazali Kori

Selamatkan T-Team

KUALA TERENGGANU: "Apa akan jadi jika Terengganu tersingkir ke Liga Perdana pada 2019? Oleh itu, selamatkan T-Team," kata Mohamad Ishak Kunju Mohamad.

Itu rayuan daripada bekas pemain Terengganu era 1990-an, yang mahukan skuad The Titans terus kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Pendirian pemain pertahanan yang digelar 'buldozer' berusia 45 tahun itu senada dengan bekas jurulatih T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah - ketika tempoh pengesahan penyertaan untuk kekal dalam Liga Super hanya berbaki tiga hari saja lagi.

Ishak yang pernah beraksi sezaman dengan Ahmad Paijan, Zahasmi Ismail dan Azman Ismail dalam skuad Penyu turut mengharapkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak melakukan perubahan drastik pada ketika ini.

Sebaliknya, badan induk negeri itu perlu melihat kepada impak jika mahu menyenaraikan pasukan The Titans beraksi dalam liga bawahan (Liga Perdana).

Bekas Ketua Jurulatih Piala Presiden PDRM itu juga mahukan dua pasukan Piala Presiden dan Piala Belia iaitu Terengganu dan T-Team terus dikekalkan dan bukannya digabungkan.

Ia bertujuan bagi memastikan negeri itu berjaya melahirkan lebih ramai lagi pemain muda berbakat yang diberi peluang beraksi bersama skuad Piala Presiden.

"Hujah saya, jika T-Team itu berjaya muncul juara atau naib juara Liga Perdana, sudah pasti mampu pasukan ini akan melangkah ke Liga Super pada 2019.

"Tetapi, jika PBSNT mahu terus kekalkan skuad The Titans itu beraksi di Liga Perdana, sudah pasti ia merugikan pasukan dan pemain itu sendiri kerana tidak boleh 'naik pangkat'.

"Saya juga khuatir akan wujudnya gejala tidak sihat dan pemain juga tidak mempunyai motivasi tinggi sekali gus mampu 'membunuh' karier pemain dan jurulatih tempatan terutama dari Terengganu," kata Ishak.

Keputusan drastik itu juga menyebabkan Ishak bimbang, pasukan negeri akan hilang ramai pemain berbakat kerana peluang untuk menyertai pasukan utama semakin sempit.

Sebelum ini, PBSNT merancang mahu menyenaraikan satu pasukan saja beraksi di Liga Super dan satu lagi di Liga Perdana, walaupun Terengganu dan T-Team layak beraksi dalam Liga Super musim 2018.

PBSNT juga menyatakan akan hanya ada satu pasukan Piala Presiden dan Piala Belia dari Terengganu musim depan.

"Kekalkan saja T-Team dan skuad Piala Presiden dan Piala Belia T-Team kerana Terengganu adalah antara 'kilang' pengeluar pemain berbakat. Musim ini, skuad Piala Presiden Terengganu layak ke final.

"Musim lalu, skuad Piala Presiden T-Team juga layak ke pentas akhir," katanya yang mahukan PBSNT memikirkan hala tuju T-Team dan Terengganu jika dua pasukan itu beraksi dalam Liga Perdana 2019.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X