Khamis, 23 November 2017 | 6:41pm
S CHANTURU (kiri) ketika beraksi bersama JDT yang kini sertai Melaka United anggap hajatnya tidak kesampaian untuk beraksi bersama Mohammed Ghaddar. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Hajat Chanturu tak kesampaian

KUALA LUMPUR: Keputusan Mohammed Ghaddar menolak lamaran Melaka United (MU) bukan saja mengecewakan pasukan itu malah membuatkan S Chanturu kempunan apabila hajatnya bergandingan dengan pemain berkenaan tidak kesampaian.

Dia yang menyertai skuad Hang Tuah selepas dilepaskan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) berkata berasa teruja membentuk kombinasi bersama pemain Lubnan itu selepas diberitahu akan turut menyertai pasukan itu.

Malah, Chanturu sudah membayangkan gandingannya bersama Ghaddar dan seorang lagi bekas pemain JDT, R Gopinathan mampu membantu MU merealisasikan sasaran menduduki sekurang-kurang lima kedudukan teratas musim depan.

"Saya memang berhajat bergandingan dengan Ghaddar kerana dia penyerang hebat. Jadi, bila dapat tahu dia akan menyertai MU, saya anggap ini peluang terbaik untuk bermain bersamanya.

"Apatah lagi bila Gopi juga turut menyertai MU. Saya tambah teruja kerana yakin kami bertiga mampu membentuk satu kombinasi mantap kerana pernah sama-sama mewakili JDT.

"Walaupun sepanjang di JDT, kami tidak berkesempatan bermain bersama dalam perlawanan, namun menerusi pergaulan dan latihan membolehkan kami saling memahami corak permainan masing-masing.

"Tapi, apa nak buat. Ghaddar mungkin mempunyai perancangan lain, kita perlu hormati keputusannya," kata Chanturu.

Semalam, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusof Mahadi mengesahkan Ghaddar menolak tawaran menyertai pasukan itu walaupun sudah mendapat pelepasan daripada JDT.

Chanturu yang berasal dari Kulim, Kedah, bagaimanapun berkata, ketiadaan Ghaddar tidak akan mematahkan semangatnya untuk menyarung jersi MU.

"Saya akan membuka buku baru bersama MU selepas tiga musim bersama JDT. Walaupun musim ini saya jarang diturunkan dalam perlawanan, namun yakin sentuhan saya belum hilang.

"Masih ada dua bulan sebelum liga bermula untuk saya mencari semula rentak permainan dan membina persefahaman dengan rakan sepasukan.

"Saya yakin, dengan usaha dilakukan MU membawa ramai muka baharu untuk memperkuatkan pasukan itu, mereka akan mendapat hasil seperti dihajati.

"Sebagai pemain, saya akan memberi komitmen 100 peratus. Saya sudah bersedia untuk bersaing bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama," kata pemain sayap itu.

Berita Harian X