X
Selasa, 28 November 2017 | 11:56am
PENGENDALI Nantes, Claudio Ranieri mengakui mempunyai memori indah ketika melatih Monaco pada 2012. - Foto AFP
PENGENDALI Nantes, Claudio Ranieri mengakui mempunyai memori indah ketika melatih Monaco pada 2012. - Foto AFP

Ranieri imbau kenangan Monaco

PARIS: Claudio Ranieri mengakui dia mempunyai memori indah ketika melatih Monaco, menjelang pertemuan kelab bimbingannya ketika ini, Nantes yang menanti kunjungan juara bertahan Ligue 1 itu pada awal pagi Khamis.

Pengendali dari Itali itu dilantik sebagai pengendali Monaco pada 2012 untuk dua musim dengan pencapaian memenangi Ligue 2 sekali gus naik ke Ligue 1 yang menyaksikan mereka menduduki tangga kedua liga.

Kekecewaannya meninggalkan kelab itu terpadam selepas membantu Leicester City memenangi Liga Perdana Inggeris pada tahun 2016 sebelum kembali ke Perancis membimbing Nantes.

"Saya mempunyai memori indah. Kami muncul juara Ligue 2 dan kemudian kedua di Ligue 1. Saya sering menyaksikan mereka pada saingan Liga Juara-Juara," kata Ranieri.

CLAUDIO Ranieri bersama penyerang Monaco Radamel Falcao ketika pengurus itu membimbing kelab tersebut.
CLAUDIO Ranieri bersama penyerang Monaco Radamel Falcao ketika pengurus itu membimbing kelab tersebut.

Monaco memerlukan motivasi tambahan selepas tersingkir pada saingan Liga Juara-Juara susulan kekalahan 4-1 kepada RB Leipzig dan kemudian kalah 2-1 di laman sendiri di tangan Paris Saint-Germain (PSG) Ahad lalu.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan anak buah Leonardo Jardim ketinggalan sembilan mata di belakang PSG.

"Kami tahu sangat sukar apabila bertemu PSG. Monaco sedang membentuk semula pasukan selepas membeli ramai pemain. Saya percaya mereka akan bersaing di tempat kedua liga bersama Lyon dan Marseille," katanya. - AFP

Berita Harian X