Rabu, 29 November 2017 | 9:57pm
PEMAIN Negeri Sembilan, Mohd Noor Hazrul (kanan) mengawal pemain Pahang, Sumareh Mohammadou pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Negeri Sembilan kekalkan khidmat Ooi

SEREMBAN: Pemain pertahanan Negeri Sembilan, Mohd Noor Hazrul Mustafa mengakui betapa dia lega apabila Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) masih memberi kepercayaan kepadanya untuk terus kekal bersama pasukan itu musim depan.

Bekas pemain Kelantan yang mesra dipanggil Ooi itu berkata, dia ditawarkan kontrak lanjutan setahun bersama skuad Hobin Jang Hobin biarpun sasaran yang ditetapkan pengurusan pasukan pada musim 2017 untuk layak secara automatik ke Liga Super, tidak kesampaian.

Katanya, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada PBNS yang masih memberi kepercayaan kepadanya untuk terus kekal berada dalam skuad berkenaan yang menamatkan saingan Liga Perdana musim 2017 di tempat keempat.

"Sebaik pengurusan pasukan Negeri Sembilan menawarkan kontrak setahun lagi, saya tidak berfikir panjang apabila terus bersetuju dan menerima tawaran itu kerana rasa sayang hendak tinggalkan negeri ini.

"Sepanjang semusim bersama pasukan, banyak yang saya dapat pelajari terutama dalam meningkatkan prestasi dan persembahan malah hubungan kami adalah seperti keluarga.

"Di samping itu, pengurusan pasukan yang sentiasa mengambil berat kebajikan pemain juga antara perkara membuatkan saya selesa berada dalam pasukan ini," katanya di sini, hari ini.

Mohd Noor Hazrul antara tonggak utama yang sentiasa mendapat kepercayaan pengendali Negeri Sembilan, Mohd Asri Ninggal pada sepanjang saingan Liga-M musim 2017.

Malah, pemain berpengalaman berusia 29 tahun kelahiran Sungkai, Perak itu antara tunjang kekuatan pertahanan skuad Rusa yang berjaya mara ke separuh akhir Piala FA.

Dia bertekad untuk memberikan sumbangan lebih baik sepanjang musim depan bagi memastikan Negeri Sembilan tampil lebih garang dan dapat melakar kejayaan yang disasarkan iaitu kembali layak ke Liga Super selepas impian itu tersasar tahun ini.

"Saya berjanji untuk memberikan sumbangan lebih baik musim depan bagi membalas kepercayaan PBNS yang menerima saya semusim lagi.

"Saya berharap, impian untuk menjulang kembali nama Negeri Sembilan sebagai pasukan yang digeruni dalam saingan liga domestik bakal direalisasikan musim depan," katanya.

Berita Harian X