Sabtu, 2 Disember 2017 | 11:03pm
PEMAIN tengah Chelsea berasal dari Belgium, Eden Hazard (dua dari kiri) meraikan gol jaringannya ketika menentang Newcastle pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, sebentar tadi. - Foto AFP

Hazard, Morata julang Chelsea benam Newcastle

LONDON: Dua gol menerusi Eden Hazard dan satu daripada Alvaro Morata memastikan kemenangan 3-1 buat Chelsea ke atas Newcastle United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

Bagaimanapun Newcastle yang dibimbing Rafa Benitez terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Dwight Gayle pada minit ke-12.


PENYERANG Chelsea, Alvaro Morata menjaringkan gol ketika menentang Newcastle pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, sebentar tadi. - Foto Reuters

Tersentak dengan jaringan itu, Chelsea yang beraksi di laman sendiri pantas pamer kebangkitan sehingga menyaksikan Hazard menyamakan kedudukan pada minit ke-21.

Sebelum aksi berehat, Morata meledak gol ke-10 miliknya musim ini selepas mudah menanduk masuk hantaran lintang Victor Moses, untuk menjadikan kedudukan 2-1 berpihak The Blues.

Pada minit ke-74, ekoran tindakan Matt Ritchie yang menjatuhkan Moses, Chelsea dihadiahkan sepakan penalti dan Hazard berjaya menyempurnakannya untuk memastikan tiga mata buat The Blues.

"Sudah tentu kami gembira. Kami memulakan perlawanan agak perlahan dan apabila kami ketinggalan 1-0, kami mula bermain dengan bersungguh-sungguh dan mendapat peluang menjaringkan gol," kata jurulatih Chelsea, Antonio Conte.

"Ia adalah persembahan yang hebat daripada kesemua pemain saya. Amat penting untuk meraih tiga mata dan kami melakukannya."

Conte turut menghamburkan pujian terhadap tonggak Belgium, Hazard.

"Dia bermain dengan amat baik. Dia amat menggemari permainan seperti ini. Eden adalah pemain yang amat penting. Bersamanya, kami mengubah sistem kami. Dia boleh bermain sebagai penyerang kedua atau nombor 10." - Reuters


PEMAIN pertahanan Chelsea, Victor Moses (kanan) diasak pemain Newcastle, Matt Ritchie pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, sebentar tadi. - Foto Reuters


PEMAIN Newcastle United, Jacob Murphy (kanan) mengasak Danny Drinkwater pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, sebentar tadi. - Foto Reuters


GAYA penyerang Chelsea, Alvaro Morata selepas meledak gol ketika menentang Newcastle pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE


PENGENDALI Newcastle, Rafael Benitez (tengah) kecewa selepas tewas kepada Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

584 dibaca
Berita Harian X